Rusia sebar ‘maklumat palsu’ tentang Timur Tengah, kata ketua Microsoft


Brad Smith, naib pengerusi dan presiden Microsoft mendakwa Rusia menyebarkan maklumay palsu tentang Timur Tengah. – Gambar AFP, 12 November, 2023.

RUSIA telah menyebarkan “maklumat palsu” tentang situasi di Timur Tengah, kata presiden Microsoft pada Sabtu, ketika ketegangan semakin memuncak di rantau itu disebabkan perang Israel-Hamas.

Brad Smith, naib pengerusi dan presiden Microsoft, berkata demikian ketika ditanya mengenai peranan gergasi teknologi AS dalam mempromosi keamanan di satu forum keamanan antarabangsa di Paris.

Katanta, Microsoft dan pesaingnya sedang melawan gejala maklumat palsu, terutama sekali yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Smith berkata Microsoft dan syarikat lain melakukan ini “dengan mencipta peralatan teknologi yang memudahkan pengesanan manipulasi, pengubahan dan ubah suai kandungan,” menurut kenyataan diterjemahkan dalam bahasa Perancis oleh radio France Inter.

“Kami menjadi sangat bagus dalam mengenalpasti kempen Rusia, seperti bila mereka cuba menyakinkan orang supaya tidak mendapatkan vaksin Covid,” katanya.

“Atau sekarang, bila kita lihat maklumat palsu dikeluarkan Rusia tentang Timur Tengah,” tambahnya.

Katanya, tiga pilihan dipunyai platfrom teknologi dalam mengenalpasti maklumat palsu iaitu tidak berbuat apa-apa, memadamkannya, atau melabelkan sebagai kandungan yang sudah diubah suai.

“Tidak ada kesepakatan masyarakat tentang apa yang syarikat teknologi perlu buat,” tambah Smith.

Forum Keamanan Paris dibuka ketika konflik sedang memuncak di seluruh dunia dan lebih sebulan perang antara Israel dan Hamas berlaku di Tebing Gaza.

Sejak Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober yang menurut Israel membunuh 1,200 orang dan 239 orang dijadikan tebusan, Israel melakukan pengebomam di Gaza tanpa henti serta turut mengerahkan ketumbukan tentera.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata lebih 11,000 orang sudah terbunuh di Gaza, kebanyakkannya kanak-kanak.

Dalam satu wawancara bersama BBC pada Jumaat, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengecam serangan Hamas tetapi menggesa Israel menghentikan serangan ke atas penduduk awam di Gaza, menyifatkannya “tiada justifikasi” dan kematian akan menyebabkan “kesumat”. – AFP, 12 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen