Umno jangan terlalu selesa di sebalik kepincangan Bersatu, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata empat ahli Parlimen Bersatu itu muncul sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di kawasan yang sebelum ini dipegang Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2023.

UMNO tidak boleh terlalu selesa dengan tindakan empat ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mereka adalah dari kawasan yang sebelum ini disandang parti itu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata empat ahli Parlimen Bersatu itu muncul sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di kawasan yang sebelum ini dipegang Barisan Nasional.

“Mereka adalah ahli Parlimen di kawasan calon BN tak cukup jumlah undi untuk menang di kerusi itu (pada PRU15) dan kita berada pada kedudukan yang kedua,” katanya dipetik Berita Harian.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata adalah lebih penting bagi BN untuk merampas kembali kerusi berkenaan pada PRU akan datang.

“Umno dan BN akan memperkira perkembangan terbaharu itu, biarpun baik (kepada kerajaan) namun Umno berpendirian kerusi itu perlu menjadi milik Umno semula,” katanya.

“Jika perkembangan terbaharu politk ini diperkirakan, maka ia positif sebagai landasan untuk kita bergerak ke hadapan”.

Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan dalam usaha mendapatkan peruntukan bagi kawasan pilihan raya mereka.

Keempat-empat wakil rakyat itu berkata mereka tetap setia kepada Bersatu.

Bagaimanapun, Bersatu menggantung keahlian Iskandar Dzulkarnian dan Suhaili masing-masing selama empat dan enam tahun.

Pada Khamis, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata ia akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana terdapat bukti menunjukkan keempat-empat ahli Parlimen itu sama ada diancam atau ditawarkan peruntukan pembangunan sebagai pertukaran kepada sokongan mereka. – 11 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen