Pengawal selia Thailand lulus penggabungan kontroversi syarikat telekomunikasi


Penggabungan itu melibatkan penyedia rangkaian mudah alih terkemuka Thailand, AIS dan sebuah syarikat pesaing tempatan. – Gambar AFP, 11 November, 2023.

PENGAWAL selia telekomunikasi Thailand meluluskan penggabungan penyedia rangkaian mudah alih terkemuka negara itu, AIS dan sebuah syarikat pesaing tempatan meskipun wujud kebimbangan mengenai potensi amalan anti-persaingan.

AIS, yang merupakan anak syarikat Intouch Holdings diasaskan oleh keluarga jutawan dan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, mengisytiharkan rancangannya untuk bergabung dengan 3BB pada Julai tahun lepas.

Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC) meluluskan perjanjian itu lewat semalam, namun menyenaraikan syarat seperti pengehadan harga dan kawalan kualiti.

“Penggabungan itu adalah perkara yang rumit dan memberi kesan kepada masyarakat umum, kami mengkajinya secara menyeluruh,” kata NBTC dalam satu kenyataan.

“Majoriti NBTC menyatakan kebimbangan mengenai penggabungan ini… ia perlu mengikut peraturan harga yang ketat,” tambahnya.

Menurut laporan media, keputusan itu akan membolehkan AIS membeli 100% saham 3BB yang juga dikenali sebagai Triple T Broadband dalam perjanjian berjumlah 32.4 bilion baht ($899 juta).

Ia berlaku setahun selepas penggabungan antara penyedia rangkaian mudah alih DTAC dan True, masing-masing dimiliki oleh cabang gergasi telekomunikasi Norway di Thailand, Telenor dan konglomerat tempatan Charoen Pokphand.

Susulan perjanjian AIS-3BB itu, hanya dua syarikat akan menyumbang lebih 80% daripada pasaran jalur lebar, dengan syarikat milik kerajaan, National Telecom akan menguasai baki 20%.

Penentang perjanjian itu memberi amaran ia akan memberi kesan kepada pelanggan, dengan kekurangan persaingan yang berpotensi membawa kepada lonjakan harga lebih tinggi.

“Jika NBTC tidak menggunakan kuasanya dengan betul, kepada siapa pengguna boleh berharap?,” soal bekas pesuruhjaya NBTC, Supinya Klangnarong kepada pemberita. – AFP, 11 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen