KEMENTERIAN Kewangan hari ini mengulangi kenyataannya dua kerajaan terdahulu membelanjakan RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti, walaupun ia dinafikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang berkata dakwaan itu tidak berasas.
Kementerian dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kenyataan sebelum ini yang dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 7 November.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata sejumlah besar wang digunakan ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri dan selebihnya lagi ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Beliau melabelkan jumlah yang digunakan dari 2020 hingga 2023 sebagai melampau.
“Sejumlah RM700 juta dibelanjakan untuk pengiklanan, promosi dan publisiti,” katanya di Dewan Rakyat.
Anwar berkata Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh membelanjakan RM500 juta untuk promosi sementara selebihnya digunakan oleh Ismail.
Kenyataan dikeluarkan kementerian pagi ini menjelaskan wang yang digunakan oleh dua kerajaan sebelum ini, bagi menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan melalui semua platform media massa termasuk papan iklan (billboard), media cetak, media elektronik (televisyen dan radio) serta media sosial.
Kebanyakan perbelanjaan bagi tujuan ini diselaraskan oleh Pejabat Perdana Menteri, kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata bagi 2023, kerajaan Anwar setakat ini menggunakan baki lebihan nilai kontrak komunikasi bernilai RM56.9 juta.
“Tiada kontrak komunikasi baharu telah dianugerahkan semasa tahun 2023 oleh pentadbiran kerajaan madani. Bagi tahun hadapan, pentadbiran kerajaan madani akan mengurangkan perbelanjaan bagi pengiklanan, promosi dan publisiti untuk tidak melebihi RM100 juta iaitu separuh daripada nilai purata perbelanjaan sebelum ini.”
Terdahulu, mengulas kenyataan Anwar pada 7 November, Muhyiddin berkata jawapan bertulis oleh Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Armizan Ali membuktikan dakwaan itu adalah pembohongan.
Muhyiddin berkata Armizah pada Februari mendedahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya membelanjakan RM181,752 untuk pelaksanaan penjenamaan semula.
“Dakwaan seperti itu satu lagi contoh penipuan Anwar,” kata Muhyiddin.
Pengerusi PN itu berkata pengiklanan billboard, televisyen dan radio adalah fokus kepada mesej berkaitan Covid-19, termasuk pakej rangsangan dan bantuan, selepas negara dilanda pandemik itu.
“Sedangkan hari ini, kita boleh nampak billboard madani di mana-mana,” katanya. – 11 November, 2023.
Komen