Projek fotovoltaik terbesar Asia Tenggara mula operasi


Presiden Indonesia Joko Widodo berkata pihaknya akan terus meneroka potensi sumber tenaga boleh baharu.– Gambar EPA, 10 November, 2023.

PROJEK fotovoltaik empangan Cirata yang dibina oleh syarikat China mula beroperasi di Jawa Barat, Indonesia pada Khamis.

Majlis perasmian projek yang turut dikenali PLTS Terapung Cirata itu diserikan dengan kehadiran Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi.

Jokowi berkata sudah berakhir sejarah Indonesia menanti-nantikan satu projek janakuasa elektrik yang besar dengan menggunakan sumber tenaga alternatif.

Beliau berkata pihaknya akan terus meneroka potensi sumber tenaga boleh baharu demi memperjuangkan matlamat pelepasan karbon sifar menjelang 2060.

PLTS Cirata mempunyai kapasiti 192 megawatt (MW). 

Pengurus Syarikat Kejuruteraan Huadong Kumpulan Power China (HDEC) Zhang Huizhong berkata  jumlah penjanaan elektrik tahunan projek fotovoltaik terapung yang terbesar di Asia Tenggara itu dijangka akan mencapai 300,000 megawatt sejam dan mampu membekalkan tenaga elektrik untuk kegunaan lebih kurang 50,000 isi rumah.

Sementara itu, pengoperasian projek itu dapat membantu menjimatkan arang batu sebanyak 117,000 tan, sekali gus mengurangkan CO2 sebanyak 214,000 tan, SO2  9,000 tan dan NOx  4,500 tan pada setiap tahun. – Bernama, 10 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen