MBPP nafi tidak lulus permohonan pasang bendera Palestin


MBPP memaklumkan pihak Flat Jalan Sungai menghantar permohonan pada 11 Oktober dan kelulusan dibuat pada 23 Oktober, namun bendera Palestin digantung pada 14 Oktober, iaitu sebelum tarikh kelulusan dikeluarkan. – Gambar Facebook, 10 November, 2023.

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan tidak meluluskan permohonan pemasangan bendera Palestin sepanjang 15m di Flat Jalan Sungai, malah pihaknya tiada halangan untuk menunjukkan tanda solidariti terhadap pergolakan yang berlaku kepada rakyat Palestin.

MBPP dalam kenyataan hari ini menjelaskan, pemasangan bendera Palestin di Flat Jalan Sungai itu, dibuat sebelum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Permohonan dikemukakan kepada MBPP pada 11 Oktober dan kelulusan dibuat pada 23 Oktober, namun bendera Palestin tersebut digantung pada 14 Oktober, yang mana ia digantung sebelum tarikh kelulusan dikeluarkan.

“Bendera tersebut digantung sebelum MBPP memberi maklum balas secara bertulis kepada pihak berkenaan melalui surat rasmi bertarikh 23 Oktober dan tindakan menaikkan bendera tersebut tanpa mendapatkan kelulusan MBPP, dianggap sebagai melanggar garis panduan MBPP,” menurut kenyatan MBPP hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan sebarang cadangan pemasangan peralatan atau pelaksanaan aktiviti di premis MBPP, perlu mendapatkan kelulusan mereka terlebih dahulu, namun atas keprihatinan MBPP, bendera itu masih digantung di situ, malah MBPP tiada halangan untuk menunjukkan tanda solidariti terhadap pergolakan yang berlaku kepada rakyat Palestin.

Pada Khamis, tular di aplikasi TikTok mengenai sepucuk surat MBPP, yang didakwa tidak meluluskan permohonan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menaikkan bendera Palestin di Flat Jalan Sungai di Georgetown.

Sebelum ini, penduduk menaikkan bendera Palestin sepanjang 15 meter di flat tersebut, sebagai tanda soladariti kepada perjuangan rakyat Palestin. – Bernama, 10 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen