Badan pemantau pilihan raya Bersih umum kepimpinan baharu


Badan pemantau pilihan raya Bersih hari ini umum jawatankuasa pemandu yang baharu bagi sesi 2023-2025 susulan keputusan pemilihannya. – Gambar Facebook, 10 November, 2023.

BADAN pemantau pilihan raya Bersih hari ini mengumumkan jawatankuasa pemandu yang baharu bagi sesi 2023-2025 susulan keputusan pemilihannya.

Hanya tiga jawatan dipertandingkan iaitu timbalan pengerusi, bendahari dan tiga ahli jawatankuasa.

Jawatan lain dikekalkan tanpa dipertandingkan.

Thomas Fann kekal sebagai pengerusi. Beliau dipilih sebagai pengerusi kali pertama pada 2018.

Sementara itu, Wong Yan Ke dipilih sebagia timbalan pengerusi selepas menewaskan Ngeow Chow Ying dengan kelebihan empat undi.

Wong dari Suaram, adalah bekas penyelidik parlimen selain bekas aktivis pelajar di Universiti Malaya.

Azmil Tayeb mengekalkan jawatannya sebagai naib pengerusi semenanjung bersama Ann Teo (naib pengerusi Sarawak) dan Fiqah Roslan (naib pengerusi Sabah).

Azmil adalah pakar politik di Universiti Sains Malaysia dan juga ahli exco Aliran.

Teo seorang peguam berpangkalan di Kuching, sering terbabit dengan pertubuhan persatuan sivil sejak 15 tahun lalu sementara Fiqah adalah wartawan sebelum beralih ke bidang aktivisme menerusi Undi Sabah.

Sadina Suffian dipilih sebagai bendahari sementara tiga ahli jawatankuasa adalah Alexzander Johnson, Aira Azhari dan Haridas S Krishnan Nair.

Bersih dalam satu kenyataan berkata proses mengundi dari 7 hingga 9 November dijalankan secara atas talian bagi membolehkan penyertaan NGO yang berpangkalan di luar Lembah Klang.

“Kami melihat penyertaan aktif daripada NGO terbabit dengan 50 daripada 60 kertas undi dikembalikan.

“Pengundi yang keluar mengundi adalah 83.3%, peratusan tertinggi dalam pemilihan jawatankuasa pemandu Bersih. kertas undi dibuka dan dikira serta merta selepas pusat mengundi dituutp pada 5 petang 9 November di pejabat Bersih.

“Proses itu disiarkan secara Zoom kepada NGO yang terbabit dan disaksikan lima pemerhati secara fizikal,” katanya. – 10 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen