Suhaili dapat peruntukan kawasan 3 hari selepas sokong PM, lapor media


Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini selepas mengumumkan sokongan kepada kerajaan perpaduan pada 30 Oktober lalu. – Gambar Facebook, 10 November, 2023.

AHLI Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman mendedahkan mendapat kelulusan peruntukan kawasan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiga hari selepas beliau mengumumkan sokongan kepada kerajaan, lapor Sinar Harian.

Kelulusan itu tidak bersyarat, katanya, menafikan dakwaan banyak pihak.

“Bila nak minta peruntukan, kenalah isytihar yang kita sokong kerajaan. Itu saja. Tak ada syarat kena tandatangan, itu semua fitnah.

“Saya umum (sokong kerajaan) kepada media, keesokannya saya mohon peruntukan, dua hari kemudian PM dah luluskan,” katanya seperti dipetik akhbar itu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah peruntukan yang diterimanya.

Suhaili juga mendedahkan beliau selama ini habis menggunakan elaunnya sebagai wakil rakyat untuk menampung kos pejabat dan membayar kakitangan serta membantu rakyat antaranya mendapatkan rawatan kesihatan di Kota Kinabalu dan bantuan makanan kepada miskin tegar.

Suhaili adalah antara empat ahli Parlimen pembangkang daripada Bersatu yang menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan perpaduan dalam tempoh 30 hari yang lalu.

Beliau berbuat demikian pada 30 Oktober.

Tiga yang lain ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober serta dua wakil rakyat dari Kelantan iaitu Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) pada 7 dan 8 November.

Dalam pada itu, Suhaili mengulangi pendirian yang beliau tidak meninggalkan Bersatu.

“Saya masih sayang dan cintakan parti. Cuma saya juga cintakan rakyat. Saya perlukan pertolongan.

“Di mana jenayahnya apabila wakil rakyat mendahulukan rakyat yang mengundinya?” tanyanya.

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan membuat laporan kepada agensi antirasuah kerana ada bukti mereka yang beralih sokongan ini diugut dan ditawarkan layanan istimewa berkaitan peruntukan kawasan.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul juga semalam berkata beliau menerima permohonan daripada empat ahli Parlimen berkenaan untuk berpindah kerusi ke blok kerajaan di Parlimen. – Bernama, 10 November, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen