PIHAK berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan vaksin pertama di dunia untuk chikungunya, virus disebarkan oleh nyamuk yang disebut oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) sebagai “ancaman kesihatan global yang muncul.”
Vaksin yang dibangunkan oleh Valneva Eropah dan akan dipasarkan di bawah nama Ixchiq, diluluskan untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan berisiko tinggi, kata FDA.
Kelulusan Ixchiq oleh pengawal selia ubat AS dijangka mempercepatkan pelancaran vaksin di negara di mana virus itu paling berleluasa.
Chikungunya, yang menyebabkan demam dan sakit sendi teruk, paling banyak berlaku di kawasan tropika dan subtropika Afrika, Asia Tenggara dan sebahagian daripada benua Amerika.
“Bagaimanapun, virus chikungunya telah merebak ke kawasan geografi baharu menyebabkan peningkatan kelaziman global penyakit itu,” kata FDA, melaporkan lebih 5 juta kes dalam tempoh 15 tahun lalu.
“Jangkitan virus chikungunya boleh membawa kepada penyakit teruk dan masalah kesihatan yang berpanjangan, terutamanya bagi orang dewasa lebih berusia dan individu yang mempunyai sejarah penyakit lain,” kata pegawai kanan FDA Peter Marks dalam satu kenyataan.
Vaksin disuntik dalam satu dos dan mengandungi versi virus chikungunya yang hidup dan lemah, seperti standard vaksin lain.
Dua ujian klinikal telah dijalankan di Amerika Utara ke atas 3,500 orang. Sakit kepala, keletihan, sakit otot dan sendi, demam dan loya biasanya dilaporkan menjadi kesan sampingan.
Tindak balas serius dilaporkan dalam 1.6% penerima Ixchiq dalam ujian, dengan dua memerlukan kemasukan ke hospital. – AFP, 10 November, 2023.
Komen