Taiwan kesan kapal induk, pesawat tentera China


Kapal-kapal China telah berlayar di sepanjang garis tengah Selat Taiwan sejak kelmarin, Menurut Angkatan Bersenjata Taiwan. – Gambar AFP, 10 November, 2023.

TAIWAN telah mengesan sejumlah kapal tentera China termasuk kapal induk pesawat udara Shandong serta beberapa pesawat di sekitar Taiwan, menurut Kementerian Pertahanan pulau itu pada Khamis.

“Shandong CSG (Carrier Strike Group) memasuki perairan utara Taiwan pada 0800 (UTC+8) (0000 GMT) hari ini dan terus belayar ke utara. Kami telah mengerahkan pasukan untuk bertindak balas,” menurut ciapan kementerian itu lapor Sputnik.

Kapal-kapal China itu telah berlayar di sepanjang garis tengah Selat Taiwan sejak kelmarin.

Sebanyak 13 pesawat China telah dikesan berhampiran Taiwan, lima daripadanya telah melintasi garisan tengah, menurut kementerian itu.

China mengerah aset-asetnya ketika lawatan Menteri Luar Taiwan Joseph Wu ke Lithuania, Estonia dan Latvia.

Pada Ogos dan September, pasukan peronda tentera laut dan udara China dikesan di sekitar pulau itu, menurut Angkatan Bersenjata Taiwan.

Pada 18 September, sebanyak 103 pesawat China dilihat berhampiran pulau itu dalam tempoh satu hari. – Bernama, 10 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen