PRESIDEN Zimbabwe Emmerson Mnangagwa pada Rabu turut bersama dengan gesaan antarabangsa menuntut gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza, dan mendesak semua pihak yang terlibat untuk memberi ruang kepada sesi dialog.
Beliau juga menggesa agar semua usaha tertumpu ke arah mencari penyelesaian yang utuh, saling menguntungkan dan mampan, lapor Agensi Berita New Ziana.
Mnangagwa, diwakili Menteri Pertahanan Oppah Muchinguri, membuat gesaan itu pada acara sempena ulang tahun ke-78 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu negara.
“Di saat kita merenung prinsip dan tujuan Piagam PBB yang menyeru kepada penyelesaian pertikaian secara aman, izinkan saya menggunakan peluang ini untuk menyertai dunia menyeru kepada gencatan senjata segera di Gaza, dan menamatkan segera permusuhan yang mengakibatkan penderitaan yang tidak terhingga kepada orang awam.
“Petugas kesihatan dan sukarelawan kemanusiaan tidak boleh menjadi sasaran,” katanya.
Sekurang-kurangnya 10,569 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, wanita, wartawan dan petugas bantuan terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza yang terkepung sejak 7 Oktober. – Bernama, 9 November, 2023.
Komen