PERSATUAN Pelakon Filem Amerika Syarikat (SAG-AFTRA) pada Rabu mengumumkan bahawa mogok yang berlanjutan selama berbulan-bulan telah berakhir, setelah perjanjian dengan Perikatan Penerbit Filem dan Televisyen (AMPTP) dicapai, “, lapor Sputnik.
“Kami sangat teruja dan bangga untuk memberitahu anda bahawa hari ini Jawatankuasa Perundingan TV/Teater bersetuju secara sebulat suara untuk meluluskan perjanjian sementara dengan AMPTP.
“Mulai 12.01 pagi PT (0801 GMT) 9 November, mogok ditamatkan dan semua lokasi mogok ditutup,” menurut persatuan itu dalam satu kenyataan di platform X.
Sementara itu, perjanjian bernilai lebih AS$1 bilion itu termasuk “kenaikan pampasan minimum, iaitu peruntukan yang tidak pernah ada sebelum ini untuk persetujuan dan pampasan yang bertujuan melindungi ahli daripada ancaman AI dan untuk kali pertama, menetapkan bonus bagi penyertaan penstriman,” serta “pelbagai penambahbaikan membabitkan beberapa kategori termasuk bayaran yang lebih tinggi untuk pelakon tambahan.
“Pencen dan faedah kesihatan telah dinaikkan dengan ketara, yang akan memberikan nilai yang sangat diperlukan” menurut persatuan itu.
Persatuan itu juga berterima kasih kepada para penggiat seni dan penulis “atas pengorbanan yang dibuat semasa menyokong mogok berkenaan dan mogok Persatuan Penulis Amerika”, sambil menambah bahawa perjanjian ini “akan membolehkan ahli SAG-AFTRA dari setiap kategori membina kerjaya yang mampan”.
Perjanjian itu akan diserahkan kepada lembaga kebangsaan SAG-AFTRA pada Jumaat “untuk semakan dan pertimbangan”.
Agensi berita Jerman (dpa) melaporkan bahawa SAG-AFTRA, yang mewakili kira-kira 160,000 penggiat industri, telah melancarkan mogok sejak 14 Julai menyebabkan gangguan besar kepada produksi Hollywood.
Mogok itu juga menjejaskan studio dan khidmat penstrim seperti Amazon, Apple, Disney, Fox dan Netflix. – Bernama, 9 November, 2023.
Komen