61,839 anggota, pegawai pelbagai agensi kerajaan siap siaga hadapi MTL


Armizan Mohd Ali berkata negara dijangka mengalami empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang berpotensi mengakibatkan kejadian banjir. – Gambar Facebook, 9 November, 2023.

SERAMAI 61,839 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi kerajaan dengan sokongan pelbagai aset berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata negara dijangka mengalami sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang berpotensi mengakibatkan kejadian banjir khususnya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Menurutnya Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan media pada Selasa lepas (7 November) menjangkakan MTL 2023/2024 akan bermula pada 11 November ini sehingga Mac 2024.

“Sungguhpun MTL 2023/2024 hanya (dijangka) bermula 11 November, (namun) dari 23 Oktober hingga 8 November secara kumulatif sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 962 keluarga melibatkan 3,116 mangsa akibat bencana banjir di Kedah, Pahang, Perak dan Selangor,” katanya.

Bagi menghadapi sebarang kejadian bencana sepanjang MTL tersebut beliau berkata Agensi Bencana Negara (Nadma) selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) bertanggungjawab memastikan semua cabang agensi merangka persiapan untuk memastikan kesiapsiagaan di semua peringkat.

“JPBP mengarahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) juga diminta untuk melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan sewaktu bencana berjalan dengan lancar,” katanya.

Armizan berkata Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Nadma mula beroperasi selama 24 jam setiap hari dan akan menyediakan notis serta-merta kepada syarikat telekomunikasi bagi tujuan sebaran sistem pesanan ringkas (SMS) dan Flash Broadcast secara bersasar kepada penduduk di kawasan yang berisiko banjir setelah menerima amaran banjir daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya JPS mengenal pasti 5,648 lokasi hotspot banjir meliputi 161 daerah di seluruh negara.

Pada masa yang sama katanya NDCC akan sentiasa berkongsi info terkini dan amaran bencana kepada pelbagai pihak termasuk pegawai daerah selaku Pengerusi JPBD dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana.

“Semua pihak dinasihati untuk sentiasa peka dengan situasi semasa dan amaran yang dikeluarkan pihak berwajib. Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, orang awam turut diminta untuk mematuhi sebarang arahan untuk berpindah dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya,” katanya.

Menurut Armizan setakat 6 pagi ini 15 PPS sedang beroperasi menempatkan 341 keluarga membabitkan 1,249 mangsa keseluruhan di Perak dan Selangor serta dijangka kawasan dan mangsa yang terkesan akan terus meningkat dalam tempoh MTL.

Orang ramai boleh mengakses laman web METMalaysia www.met.gov.my dan JPS https://publicinfobanjir.water.gov.my/ramalan/amaran-banjir/ atau melalui media sosial rasmi jabatan serta memuat turun aplikasi mobil myCuaca dan MyPublic Infobanjir bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai ramalan cuaca dan amaran banjir terkini. – Bernama, 9 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen