TIADA rakyat Palestin yang cedera atau mereka dengan status dua kerakyatan dipindahkan semalam dari Semenanjung Gaza ke Mesir melalui lintasan Rafah, kata seorang pegawai Palestin.
Pintu sempadan masih ditutup kerana keengganan Israel meluluskan senarai mereka yang cedera untuk dipindahkan, seorang pegawai Hamas memberitahu AFP.
Peperangan bermula lebih sebulan lalu apabila Hamas menyerang Israel dan Israel bertindak balas dengan pengeboman tanpa henti serta pencerobohan darat ke atas Semenanjung Gaza yang, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin dikawal Hamas, meragut lebih 10,500 orang, juga kebanyakannya orang awam.
Terminal Rafah - yang menghubungkan Semenanjung Gaza ke Mesir - dibuka semula pada 1 November untuk membenarkan pemindahan warga asing dan mereka dengan dua kerakyatan yang terkandas di wilayah kecil Palestin itu.
Sebelum ini berlaku dua hari penutupan selepas serangan maut Israel terkena ambulans yang menuju ke sempadan, menurut Bulan Sabit Merah Palestin dan kementerian kesihatan dikendalikan Hamas.
Tentera Israel berkata ia menyasarkan sebuah ambulans yang digunakan oleh pejuang Hamas.
Seorang wartawan AFP di Rafah semalam melihat sekumpulan besar orang berharap untuk menyeberang ke Mesir pada siang hari.
Mazen Danaf, yang memegang pasport Jerman, memberitahu AFP keadaan di Gaza “mengerikan”.
“Tiada elektrik, air, bahan api, hospital sesak,” katanya.
Mesir berkata ia akan membantu memindahkan kira-kira 7,000 warga asing melalui lintasan itu. – AFP, 9 November, 2023.
Komen