Kerajaan tidak pernah adakan pertemuan dengan ahli Parlimen pembangkang, kata Fahmi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sokongan yang diberikan membuktikan bahawa mereka sudah terbuka untuk bersama dengan Perdana Menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2023.

KERAJAAN Perpaduan tidak pernah mengadakan sebarang pertemuan dengan mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mengisytiharkan sokongan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sokongan yang diberikan membuktikan bahawa mereka sudah terbuka untuk bersama dengan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan, dalam mengembalikan Malaysia ke satu landasan pertumbuhan yang baik dan keadan politik yang stabil.

“Saya sendiri pun terkejut…tapi saya alu-alukan (sokongan). Ini menjadikan sokongan kepada kepimpinanan Perdana Menteri pada waktu ini sudah pada tahap (meliputi) 150 ahli Parlimen,” katanya selepas Majlis Pelancaran Semula Akhbar The Sun, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan tiga Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional yang mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar, termasuk yang terbaru Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.

Oktober lepas, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman turut mengambil tindakan sama.

Mengenai persoalan sama ada kerajaan mahu mengawal selia TikTok Shop, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan satu lagi mesyuarat esok sebagai kesinambungan daripada perbincangan terdahulu.

“Kami sedang bekerjasama untuk memahami lebih lanjut mengenai bagaimana TikTok Shop beroperasi. Kami dimaklumkan mereka mempunyai 300 petugas di Malaysia tetapi terdapat aspek tertentu operasi yang perlu kami teliti.

“Sudah pasti beberapa isu ini mungkin terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup atau mana-mana kementerian lain.

“Tetapi bagi KKD, ia berada dalam bidang SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sebagai pengawal selia serta isu perlindungan data peribadi. Jadi kami melihat aspek ini,” katanya. – Bernama, 8 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen