GANGGUAN terhadap syarikat telekomunikasi utama Australia hari ini mengakibatkan talian telefon dan sistem pembayaran terganggu di seluruh negara sehingga memberi kesan kepada jutaan pelanggannya.
Syarikat telekomunikasi Optus berkata pihaknya berusaha memulihkan perkhidmatan internet mudah alih itu kepada 10 juta pelanggannya di seluruh Australia.
Ketua Pegawai Eksekutif Optus Kelly Bayer Rosmarin berkata setakat ini tiada petunjuk gangguan itu disebabkan oleh serangan siber atau penggodam.
“Sistem kami sebenarnya sangat stabil. Kami menyediakan liputan hebat kepada pelanggan kami, ini adalah kejadian yang sangat jarang berlaku.
“Saya akan menjadi orang pertama maklumkan kepada pelanggan jika sudah ada lebih banyak maklumat mengenai punca utama gangguan berkenaan,” katanya yang mengetahui gangguan itu berlaku pada jam 4.05 pagi waktu tempatan.
Isu itu masih dilaporkan secara meluas di Australia selepas tujuh jam ia berlaku.
Berikutan gangguan itu, hospital tidak dapat menerima panggilan telefon serta talian tetap pada rangkaian Optus juga tidak dapat membuat panggilan kecemasan.
Jurucakap syarikat Optus dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang berusaha memulihkan perkhidmatan secepat mungkin dan turut memohon maaf kepada pelanggan.
Keadaan menjadi huru hara terutamanya di waktu puncak di Melbourne sehingga mengganggu perkhidmatan kereta api, walaupun tidak jelas sama ada ia dikaitkan dengan rangkaian Optus.
Menteri Komunikasi Australia Michelle Rowland berkata gangguan Optus disebabkan masalah dalaman dalam bahagian asas rangkaian syarikat.
Katanya, apa yang berlaku ini memberi kesan dan membuatkan pelanggannya kecewa, berikutan itu Optus harus bertindak balas dengan sewajarnya. – AFP, 8 November, 2023.
Komen