Beri Anwar masa cari pengganti Salahuddin, rombak kabinet, kata pemerhati


Noel Achariam

Pemerhati berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti diberi masa untuk memilih calon yang sesuai untuk jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berikutan kematian Salahuddin Ayub pada Julai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mesti diberi masa untuk memilih calon yang sesuai untuk jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berikutan kematian Salahuddin Ayub pada Julai, kata pemerhati.

Mereka merujuk kepada spekulasi rombakan kabinet selepas kematian menteri Amanah itu.

Mereka berkata penting peranan jawatan itu dipertimbangkan secara menyeluruh kerana ia adalah portfolio penting.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Anwar tidak kekurangan tenaga profesional untuk jawatan itu daripada mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.

“Beliau mesti diberi masa untuk membuat pengumuman itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Oktober, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan akan ada rombakan kabinet.

Awang Azman berkata setakat ini kabinet menunjukkan prestasi dengan muka baharu dalam barisannya.

“Setiap (menteri) ada pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam menangani isu. Ada yang berpengalaman dan ada yang baru. Mereka perlu diberi masa.”

Berhubung cakap-cakap mengenai rombakan kabinet, Awang Azman berkata kabinet mesti diberikan lebih setahun sebelum sebarang perubahan boleh dilakukan.

“Untuk bersikap adil, jika ada sebarang perubahan, ia sepatutnya berlaku tahun depan.”

Beliau juga menambah bahawa sebarang perubahan besar kepada kabinet tidak akan memberi banyak kesan kepada isu ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat kerana ia adalah masalah global yang dihadapi oleh semua.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata terdapat ramai pemimpin berpotensi dalam Amanah yang boleh memegang jawatan itu.

“Kita tidak tahu apa yang melambatkan proses pelantikan menteri baharu,” kata Mazlan.

“Mungkin sukar untuk mencari calon (sesuai) yang setanding dan boleh meneruskan legasi bekas menteri itu.”

Mengenai prestasi kabinet setakat ini, beliau berkata Anwar menjalankan tugas dengan baik tetapi harus meletakkan lebih kepercayaan kepada pasukannya.

“Kabinet beliau (Anwar) mesti kelihatan kuat, bersatu dan bersedia membantu beliau sebagai perdana menteri.

“Isu berkaitan kos sara hidup, harga barang yang semuanya berkaitan kementerian kos sara hidup, harus diurus dengan berkesan.

“Mereka tidak sepatutnya memberi sebarang kelonggaran kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan dalam perkara ini.”

Beliau berkata rombakan kabinet boleh meningkatkan kualiti pentadbirannya dengan calon baharu atau mereka yang mengekalkan portfolio mereka.

Sementara itu, Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Anwar harus melihat ke dalam pelantikan menteri baharu.

“Walaupun dia tidak bersetuju dengan pencalonan Amanah, dia harus menjelaskan mengapa dia mahu orang lain untuk jawatan itu.

“Mungkin strateginya untuk tidak menamakannya (pemilihan) lagi, tetapi ia kini menjadi isu yang digunakan oleh pengkritiknya untuk menunjukkan bahawa dia tidak pasti.”

Bagi rombakan kabinet, Tunku Mohar berkata secara keseluruhannya ia adalah prestasi yang bercampur-campur yang mana keputusannya masih belum dapat dinilai kerana perubahan sedang berlaku.

“Bagaimanapun, sesetengah orang menjangkakan perubahan akan berlaku dalam sekelip mata, dan inilah sebab mengapa saluran komunikasi kerajaan harus menjelaskan perubahan yang sedang berlaku dan mengapa beberapa pembaharuan lebih perlahan daripada yang dijangkakan.”

Beliau berkata menteri harus menunjukkan bahawa mereka boleh melakukan yang lebih baik dan menangani kebimbangan rakyat.

“Adalah penting untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa beberapa dasar yang diperkenalkan akan membawa perubahan positif.

Beliau juga menambah bahawa jika rombakan itu berjaya menggantikan menteri yang berprestasi rendah, dan yang baharu lebih baik, ia sememangnya boleh memperbaiki pentadbiran Anwar. – 8 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen