Penduduk persoal perkembangan projek Kampung Sg Baru 


Alfian Z.M. Tahir

Penduduk Kg Baru menuntut penjelasan pihak berkuasa berkaitan status projek di tanah di tengah-tengah Kuala Lumpur.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2023.

KUMPULAN penduduk di Kampung Baru menuntut penjelasan pihak berkuasa berkaitan status projek di tanah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Jurucakap Badan Bertindak Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Mohd Adam Abdul Aziz berkata dua surat telah dihantar kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan pejabat Tanah dan Galian mengenai kemas kini projek itu yang telah ditangguhkan sejak 2016.

“Kami mahu penjelasan. Kami ingin tahu mengapa projek itu tidak disentuh. Semuanya dilakukan dengan sewajarnya dan pemilik rumah telah menerima wang mereka daripada pemaju,” kata Adam.

“Ia sudah lama dan tidak ada kemas kini, sekurang-kurangnya perlu ada beberapa pergerakan di tapak projek tetapi setakat ini kami tidak melihat apa-apa.”

Pada 4 Februari, lebih 260 penduduk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan.

Pembangunan semula bermula pada 2016 dengan persetujuan 260 penduduk kampung, tetapi projek itu tidak dapat diteruskan kerana 37 penduduk menentangnya.

37 penduduk itu cuba menarik perhatian Ismail Sabri Yaakob semasa ahli parlimen Bera itu menjadi perdana menteri.

Pada April lalu, The Malaysian Insight melaporkan penduduk di flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kampung Sungai Baru enggan berpindah.

Mereka mahukan pampasan lebih tinggi berbanding RM250,000 yang ditawarkan untuk lokasi bernilai tinggi berhadapan dengan Menara Berkembar Petronas.

Sebagai perkampungan rizab Melayu terakhir di bandar ini, Kampung Baru amat disayangi oleh penduduk dan mereka yang ingin memeliharanya.

Walaupun dijanjikan untuk ditempatkan semula di rumah bernilai tinggi, 38 pemilik flat dan 71 pemilik rumah teres enggan menerima perjanjian itu kerana pemaju gagal menyediakan dokumen rasmi untuk menyokong tuntutannya.

Sebelum ini dilaporkan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani, menggesa kerajaan untuk segera memulakan projek yang tergendala itu.

Mengulangi dakwaan bahawa majoriti penduduk di kawasan itu bersetuju meneruskan projek yang diterajui oleh pemaju hartanah swasta Ritzy Gloss Sdn Bhd, Johari berkata penduduk yang telah mengambil wang pampasan itu “tidak berhak untuk bersuara”. – 7 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen