SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata pengeboman di semenanjung Gaza kini menjadikan ia “perkuburan untuk kanak-kanak”, dan beliau menggesa gencatan senjata dilakukan serta-merta dalam peperangan Israel-Hamas.
“Keadaan yang teruk pada masa ini memerlukan gencatan senjata segera,” katanya kepada media di ibu pejabat PBB di New York.
“Pihak yang terbabit – dan masyarakat antarabangsa – perlu berdepan tanggungjawab asas untuk menghentikan perbuatan tidak kemanusiaan ini dan bantuan perlu dihantar ke Gaza serta-merta.
“Mimpi ngeri di Gaza kini melangkaui krisis kemanusiaan.”
Pejuang Hamas bangkit menyerang Israel dari Gaza pada 7 Oktober, menyebabkan kira-kira 1,400 maut.
Serangan balas Israel menyebabkan 10,222 rakyat Palestin, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak terkorban terutama menerusi serangan udara berterusan di Gaza yang dalam kepungan Israel.
Guterres turut menyentuh tentang pembunuhan pekerja media. Sekurang-kurangnya 36 wartawan dan kakitangan media terbunuh setakat ini. – AFP, 7 November, 2023.
Komen