PRESIDEN Indonesia Joko Widodo mengingatkan calon pilihan raya umum 2024, yang akan menentukan penggantinya nanti, supaya jangan angkuh kalau menang dan jangan marah sekiranya kalah, lapor media di republik itu.
“Ingat, mulai sekarang kita pegang betul… nanti jika menang, jangan jemawa (angkuh). Jika kalah juga jangan murka,” katanya seperti dipetik CNN Indonesia.
Jokowi menyampaikan pesan itu dalam ucapannya pada acara sambutan ulang tahun Parti Golkar ke-59 di Jakarta, malam tadi.
Indonesia akan memilih presiden baharu pada 14 Februari depan, serentak dengan pilihan raya Dewan Perwakilan Rakyat, Dewan Perwakilan Daerah, dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah.
Jokowi juga menyifatkan pilihan raya itu nanti sebagai pertandingan “antara sesama anak bangsa yang sama-sama ingin membangunkan negara”.
Pada masa ini, tiga pasangan calon presiden dan naib presiden sudah berdaftar dan pencalonan mereka sedang diproses oleh suruhanjaya pilihan raya Indonesia.
Prabowo Subianto yang kalah kepada Jokowi pada pemilihan presiden 2014 dan 2019 dicalonkan oleh parti yang didirikannya pada 2008, Partai Gerakan Indonesia Raya atau Gerindra.
Beliau berganding dengan anak sulung Jokowi, yang juga wali kota Surakarta, Gibran Rakabuming dalam Gabungan Indonesia Maju.
Gibran dicalonkan selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 16 Oktober membolehkan seseorang yang berumur bawah 40 tahun dicalonkan sebagai presiden atau naib presiden sekiranya pernah memegang jawatan gabenor, ketua daerah atau datuk bandar.
Bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan, yang pernah jadi menteri pendidikan, dicalonkan oleh Parti Nasional Demokrat (Nasdem) dalam Gabungan Perubahan bersama Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti Kesejahteraan Sosial (PKS).
Anies memilih ketua umum PKB Muhaimin Iskandar, yang juga timbalan speaker Dewan Perwakilan Rakyat.
Sementara itu, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) menamakan Ganjar Pranowo sebagai calon pengganti Jokowi.
Gabenor Jawa Tengah itu, yang didukung Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Persatuan Indonesia (Perindo), dan Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), berganding dengan Mahfud MD yang juga bekas menteri undang-undang dan bekas ketua hakim mahkamah perlembagaan. – 7 November, 2023.
Komen