Ahmad Maslan kata hutang 1MDB hampir selesai


Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata baki hutang 1MDB berjumlah RM5.15 bilion setakat 30 September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2023.

KERAJAAN hampir selesai membayar keseluruhan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata baki hutang 1MDB berjumlah RM5.15 bilion setakat 30 September lalu.

“Baki setakat 30 September lalu adalah RM5.15 bilion, dijangkakan penyelesaian sejumlah AS$1 bilion atau RM4.65 bilion akan diterima daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 2024,” katanya seperti dipetik Berita Harian ketika penggulungan Belanjawan di Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.

Ahmad berkata baki keseluruhan akaun amanah adalah berjumlah RM9.85 bilion dan mencukupi untuk menampung bayaran komitmen hutang 1MDB berjumlah RM5 bilion.

“Oleh itu, saya kira masalah 1MDB ini boleh dikatakan hampir selesai,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan hanya membayar faedah RM287 juta tahun depan.

“Sehingga tempoh matang 2039, bayaran prinsipal terakhir 2039 adalah RM5 bilion.

Mac lalu, Ahmad memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM43.8 bilion, menjadikan baki hutang belum dibayar berjumlah RM9.7 bilion, membabitkan prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.7 bilion. – 7 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen