
PERDANA Menteri Anwar Ibrahim dijangka menyatakan pendirian kerajaan di Dewan Rakyat hari ini berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.
Menurut aturan urusan mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan itu dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dalam Waktu Pertanyaan Menteri mengenai rang undang-undang itu yang mengenakan sekatan terhadap pihak luar menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.
Selain itu, Anwar dijangka menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai jumlah yang dibelanjakan kerajaan untuk mempromosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini.
Pada sesi soal jawab, Ronald Kiandee (PN-Beluran) dijangka meminta menteri dalam negeri menyatakan status terkini Eastern Sabah Security Command (Esscom) dan usaha mempertingkatkan keupayaan aset serta tahap penguatkuasaan bagi keselamatan sempadan.
Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula dijadual bertanyakan menteri perpaduan negara sama ada Akta Hasutan dan Akta Komunikasi mencukupi dalam menghadapi isu 3R atau kerajaan berhasrat memperkenalkan satu rang undang-undang baharu berkaitan keharmonian kaum.
Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan.
Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang di peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 November ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari sejak 9 Oktober lepas. – Bernama, 7 November, 2023.
Komen