Iran tuduh AS sekongkol, galak Israel serang Gaza


Presiden Iran Ebrahim Raisi (kanan) bersama Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani pada sidang media di Tehran pada Isnin. – Gambar EPA, 7 November, 2023.

AMERIKA Syarikat (AS) bersekongkol dengan Israel untuk membunuh dan melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza, kata Presiden Iran Ebrahim Raisi pada Isnin.

“Bantuan daripada AS kepada rejim zionis (Israel) menggalakkan mereka untuk membunuh dan bertindak kejam terhadap rakyat Palestin.

“Kami percaya pengeboman perlu dihentikan segera, gencatan senjata juga mesti diisytiharkan serta-merta dan bantuan diberikan kepada rakyat Gaza yang tertindas.

“Jenayah tidak berperikemanusiaan oleh rejim zionis ini adalah genosid, yang disokong AS dan negara Eropah tertentu,” kata Raisi pada sidang media bersama Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani di Tehran pada Isnin.

Mohammed Shia mengadakan lawatan ke Iran, sehari selepas Setiausaha Negara Amerika Antony Blinken melakukan lawatan mengejut ke Baghdad dalam lawatan diplomatiknya ke Timur Tengah.

Semasa lawatannya ke Baghdad, Blinken mengutuk “serangan atau ancaman” terhadap tentera AS di Iraq dan Syria oleh tentera yang AS dakwa mempunyai hubungan dengan Iran.

Pada 25 Oktober lalu, pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan AS sebagai “rakan subahat jenayah” di Gaza. – AFP, 7 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen