14 langkah tempatkan golongan OKU di IPT


MENGATASI halangan pendidikan tinggi dalam dunia yang semakin inklusif dan akses kepada pendidikan tinggi untuk orang kurang upaya (OKU) kekal sebagai topik penting sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

Oleh itu, institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam mengurangkan cabaran dan mewujudkan persekitaran pendidikan yang inklusif.

OKU menghadapi pelbagai cabaran semasa mengejar impian mereka. Cabaran pertama yang sering kali didengari adalah prasarana yang tidak mesra OKU, termasuk bangunan yang sukar diakses dan kemudahan pengangkutan yang tidak sesuai.

Prasarana ini menyukarkan pergerakan pelajar kurang upaya (PKU) di sekitar kampus.

Setiap PKU memerlukan sokongan yang berbeza. Pihak IPT mungkin tidak dapat menyediakan pusat yang mencukupi untuk menguruskan keperluan PKU secara efektif.

Cabaran kedua adalah kekurangan aksesibiliti kepada teknologi digital dalam pembelajaran, terutamanya pembelajaran dan komunikasi dalam talian.

PKU mungkin menghadapi masalah mencapai platform e-learning atau dokumen tanpa bantuan.

Kaedah pengajaran, kurikulum, dan bahan pembelajaran mungkin tidak dapat diakses oleh semua PKU. Mereka mungkin memerlukan format alternatif seperti braille.

Format penilaian juga perlu dititikberatkan memandangkan kekurangan keupayaan yang berbeza memerlukan bantuan yang berbeza.

PKU mungkin memerlukan bantuan tambahan, seperti masa tambahan atau format alternatif, untuk menjalani ujian.

Cabaran ketiga, stigma dan diskriminasi. PKU mungkin menghadapi stigma dan diskriminasi daripada masyarakat akibat kekurangan keupayaan mereka.

Sikap negatif ini boleh menyebabkan pengasingan sosial dan mengganggu pengalaman mereka di IPT.

Ini juga boleh meningkatkan tekanan kepada PKU di samping tuntutan akademik yang berat.

Cabaran keempat, kekangan kewangan. Kos penginapan dan teknologi bantuan yang mesra OKU boleh mewujudkan bebanan kewangan.

Sesetengah pelajar mungkin perlu menghadiri temujanji perubatan dan sesi terapi.

Cabaran kelima, memelihara hak individu, terutama jika PKU tidak tahu tentang kemudahan yang tersedia. Tambahan pula perwakilan PKU berkaitan kepelbagaian dan penyertaan mereka mungkin terhad.

Perwakilan ini penting bagi memastikan keperluan PKU mengikut perkembangan semasa.

Pelbagai usaha sebenarnya boleh dilakukan untuk memastikan PKU mendapat sokongan dan dorongan untuk mengambil peluang yang tersedia.

Langkah pertama, sentiasa menilai dan meningkatkan infrastruktur kampus, termasuk semua laluan dan kemudahan untuk memastikan aksesibiliti penuh.

Petunjuk yang jelas harus dipasang untuk menandakan kemudahan yang boleh diakses oleh semua jenis PKU.

Langkah kedua, memastikan semua sumber digital, seperti sistem pengurusan pembelajaran, dan bahan kursus, mematuhi piawaian aksesibiliti bagi golongan OKU disertai dengan latihan bagi para akademik dan kakitangan tentang konten digital yang mesra OKU.

Langkah ketiga, meningkatkan perkhidmatan sokongan dengan memastikan peruntukan dana mencukupi untuk alat sokongan dan bantuan kepada PKU, selaras dengan keperluan Hal Ehwal Akademik dan Hal Ehwal Pelajar.

Langkah keempat, mempromosikan budaya penyertaan, kepelbagaian, dan saling menghormati di kampus melalui kempen kesedaran, bengkel, dan inisiatif kepelbagaian terhadap golongan OKU.

Langkah kelima, menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental yang sensitif kepada keperluan dan cabaran unik PKU, sambil menggalakkan dialog mengenai kesihatan mental di kampus untuk mengurangkan stigma yang mungkin dihadapi PKU.

Langkah keenam, mengintegrasikan usaha antara pihak IPT, jabatan kebajikan masyarakat, dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pengangkutan awam yang mesra OKU.

Langkah ketujuh, menubuhkan dana untuk menampung kekurangan perbelanjaan berkaitan kos peralatan, alat bantuan, dan penginapan untuk PKU.

Usaha ini termasuk menghubungkan pelajar dengan peluang bantuan kewangan yang sesuai.

Walaupun pihak Kementerian Pengajian Tinggi sudah melaksanakan Bantuan Kewangan Pelajar OKU Di IPT, ia masih perlu meningkatkan kebolehcapaian fizikal dan menawarkan bantuan kewangan yang komprehensif untuk membangunkan budaya keterangkuman dan kepelbagaian di kampus.

Sebagai contoh, Universiti Tenaga Nasional menawarkan biasiswa melalui Tabung Amanah Zakat Uniten dan Yayasan Tenaga Nasional.

Usaha ini sejajar dengan Belanjawan 2024 yang menitikberatkan bakal mahasiswa di IPT tempatan.

Langkah kelapan, menggalakkan fakulti dan ahli akademik menghasilkan bahan kursus yang dapat diakses oleh semua PKU, termasuk mereka yang mempunyai kecacatan pendengaran dan penglihatan.

Langkah kesembilan, membantu pelajar mengatur jadual akademik yang fleksibel yang dapat memenuhi temujanji perubatan dan keperluan-keperluan lain, seperti sesi fisioterapi.

Langkah ke-10, mendidik pelajar tentang hak-hak mereka dan sokongan yang tersedia, serta menawarkan bengkel untuk membina keyakinan diri.

Langkah ke-11, membantu IPT dan fakulti mengembangkan kaedah penilaian alternatif yang adil dan memuaskan, sambil menyediakan panduan mengenai pengurusan ujian dan penilaian.

Langkah ke-12, mempromosikan kurikulum yang pelbagai dan inklusif yang mencerminkan pengalaman dan sumbangan OKU, sambil mendorong mereka untuk aktif mengambil bahagian dan membangunkan keyakinan diri.

Langkah ke-13, mengadakan komunikasi terbuka dengan pelajar mengenai keperluan yang selari dengan perubahan semasa.

Langkah terakhir adalah menyediakan latihan berterusan untuk kakitangan dan fakulti mengenai isu OKU dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk berkongsi amalan terbaik serta
mempromosikan isu pendidikan OKU.

Pihak IPT perlu sentiasa mengumpul maklumbalas daripada PKU dan menjadikan mereka sebahagian daripada proses membuat keputusan, termasuk polisi IPT yang inklusif.

Kesimpulannya, membolehkan individu kurang upaya mendapat pendidikan tinggi adalah tanggungjawab bersama.

IPT mesti berusaha untuk memecahkan halangan, manakala masyarakat harus memperjuangkan keterangkuman dan kepelbagaian kepada semua pelajar demi memastikan setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk mengejar impian mereka dan menyumbang kepada pembangunan negara tanpa mengira tahap keupayaan fizikal mereka. – 6 November, 2023.

* Dr Azleen Ilias adalah seorang OKU dan pensyarah kanan di Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Uniten Business School (UBS), Uniten. Beliau boleh dihubungi di
[email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen