PENGEBOMAN Israel semakin hebat di seluruh Semenanjung Gaza pada petang semalam apabila semua internet dan komunikasi terputus di kawasan yang dikepung itu buat kali ketiga sejak perang bermula sebulan lalu.
Beberapa daripada serangan itu tertumpu kepada Kota Gaza dan kawasan sekitarnya, menurut laporan media.
Serangan Israel turut berlaku di utara Gaza berhampiran Hospital Indonesia dan kem pelarian Jabalia, lapor Al Jazeera.
Di kem pelarian serangan menyasarkan dan memusnahkan sumber air utama, dalam usaha untuk memotong semua sumber kelangsungan hidup orang awam dan memaksa mereka pergi ke selatan.
Israel mengarahkan lebih satu juta rakyat Palestin di utara untuk bergerak ke selatan tetapi berulang kali mengebom kawasan di selatan Semenanjung Gaza serta menyasarkan jalan yang menghubungkan utara dan selatan.
Pada masa yang sama dengan pengeboman, semua internet dan komunikasi di Semenanjung Gaza yang dikepung terputus buat kali ketiga.
“Kami kesal mengumumkan gangguan sepenuhnya semua perkhidmatan komunikasi dan internet di Semenanjung Gaza disebabkan laluan utama yang baru-baru ini disambung semula diputuskan sekali lagi oleh pihak Israel,” kata syarikat telekomunikasi Palestin Paltel dalam satu kenyataan di Facebook.
Di tempat lain semalam, serangan Israel ke atas sebuah kereta berhampiran Bint Jbeil di selatan Lubnan membunuh tiga kanak-kanak dan nenek mereka, menurut media Lubnan dan ahli Parlimen.
Menteri Luar Abdallah Bou Habib memberitahu Reuters bahawa Beirut sedang mengumpul maklumat dan gambar serta kemungkinan akan mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini.
Tiga kanak-kanak itu berumur antara lapan dan 14 tahun, menurut ahli parlimen Hizbullah, Hassan Fadlallah yang mewakili kawasan Bint Jbeil.
Sekurang-kurangnya 9,770 orang terbunuh sejak perang bermula pada 7 Oktober termasuk 4,008 kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Palestin.
Lebih 70 peratus rakyat Palestin di Gaza kehilangan tempat tinggal, tambahnya.
Bekalan makanan, bahan api dan air juga semakin berkurangan dengan cepat di kawasan enklaf itu di tengah-tengah kepungan Israel.
Kementerian kesihatan berkata lebih 200,000 kediaman musnah bersamaan dengan 50 peratus daripada stok perumahan enklaf itu. Ia menambah bahawa 42 bangunan milik Unrwa, agensi PBB untuk rakyat Palestin telah rosak. – Middle East Eye, 6 November, 2023.
Komen