Pemuda PKR cadang tubuh unit khas bantu pantau isu 3R


Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim berkata ia antara cadangan dikemukakan ketika Konvensyen Pemuda PKR dan akan diteliti bagi menentukan kaedah pelaksanaannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2023.

PEMUDA PKR bercadang untuk menubuhkan unit khas bagi membantu memantau sebarang isu agama, raja dan kaum (3R) di media sosial.

Ketuanya Adam Adli Abdul Halim berkata ia antara cadangan dikemukakan ketika Konvensyen Pemuda PKR dan akan diteliti bagi menentukan kaedah pelaksanaannya.

“Kalau ada orang menggunakan media sosial membuat tohmahan dan dakwaan menggunakan isu-isu perkauman biarlah ada naratif balas dan ia antara perkara yang boleh dibuat oleh unit ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Konvensyen Pemuda PKR Wilayah Tengah 2023 melibatkan Pemuda PKR Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau berkata sesi di Perak yang dihadiri 200 ahli itu merupakan penutup kepada konvensyen peringkat cabang dan negeri yang diadakan sejak Oktober bagi setiap zon bermula di Sabah diikuti Pahang, Pulau Pinang dan Melaka.

Sementara itu, Adam Adli berkata Pemuda PKR turut menyediakan latihan secara berkala kepada ahli baharu bagi memantapkan pemahaman berkaitan prinsip dan idealisme parti.

“Ini supaya sesiapa yang masuk sebagai ahli Keadilan memahami dan tahu prinsip parti serta boleh menerangkan dengan lebih baik kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, Pemuda PKR mempunyai 228,000 keahlian di seluruh negara dengan terbanyak di Selangor iaitu 70,000 manakala 14,000 ahli di Perak. – Bernama, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen