Blinken jumpa Abbas dalam lawatan mengejut di Tebing Barat, kata pihak berkuasa Palestin


Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken bertemu dengan Presiden Mahmud Abbas. – Gambar EPA, 5 November, 2023.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken membuat lawatan mengejut ke Tebing Barat hari ini, bertemu dengan Presiden Mahmud Abbas, menurut gambar yang didedahkan Pihak Berkuasa Palestin.

Diplomat tertinggi AS itu mengadakan pertemun dengan Abbas di Ramallah ketika kebimbangan global semakin memuncak terhadap peningkatan keganasan di wilayah yang diduduki seiring dengan perang Israel-Hamas di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Menurut pegawai Israel, perang meletus sejurus selepas pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas selatan negara itu yang mengorbankan 1,400 orang, kebanyakannya orang awam.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, hampir 9,500 terbunuh dalam serangan balas dari darat, udara dan laut oleh Israel ke atas Gaza sejak perang meletus.

Blinken sudah melakukan tiga lawatan ke Israel dan juga beberapa negara Arab lain.

Tetapi ini adalah lawatan pertamanya ke Tebing Barat sejak 7 Oktober.

Lawatan itu bagaimanapun tidak diumumkan lebih awal atas sebab keselamatan dan dibuat selepas Blinken melawat Jordan dan negara jiran Israel, Jumaat lalu.

Selepas pertemuan dengan Raja Abdullah II dari Jordan, Blinken “menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan keganasan di Tebing Barat dan menekankan komitmen AS untuk bekerjasama dengan rakan kongsi ke arah keamanan yang mampan di rantau ini,” menurut satu kenyataan.

Lebih 150 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel sejak perang bermula, menurut Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Ramallah.

Pertemuan Blinken dengan Abbas, yang parti sekularnya Fatah adalah saingan Hamas, berlaku ketika Washington mengumpulkan sokongan politik dan ketenteraan di belakang Israel. – AFP, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen