KPM fokus sekolah daif di pedalaman Sabah, Sarawak


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata selaras dengan Belanjawan 2024, KPM akan memberi fokus membina sekolah baharu di pedalaman dengan tidak meminggirkan Sabah dan Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) komited mengurangkan jurang pendidikan di pedalaman Sabah dan Sarawak dengan memberi fokus utama kepada sekolah daif.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata selaras dengan Belanjawan 2024, KPM akan memberi fokus untuk membina sekolah baharu di pedalaman dengan tidak meminggirkan Sabah dan Sarawak.

“Kita nak keseimbangan itu (sekolah) berlaku dan bila kita bercakap dengan pembangunan kokurikulum dan pembangunan sahsiah ia termasuk juga dengan pembangunan infrastruktur,” katanya pada sidang media majlis anugerah Malaysia Teacher Prize 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli dari Sekolah Kebangsaan Long Sebangang, Sarawak dinobat sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2023 sekali gus membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000.

Muhammad Nazmi yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris dipilih sebagai pemenang kerana ikhtiarnya mendidik murid di sekolah dengan membuat latihan simulasi bilik darjah, dengan anak muridnya diperkenalkan kepada pengalaman kehidupan lazim seperti memasuki kedai dobi atau menaiki kapal terbang dengan hanya menggunakan bahan kitar semula.

Beliau yang terkenal sebagai pelopor Kelab Filpen (filem pendek) berkata, beliau juga memberi ruang kepada muridnya untuk mengekspresikan diri mereka melalui pembikinan filem pendek antaranya filem ‘Teether’ yang berjaya diterima ke festival filem Horror Unleashed di Portugal.

Mengulas mengenai kemenangannya, Muhammad Nazmi berkata beliau amat bersyukur kerana kegigihannya membuahkan hasil.

“Bagi saya, platform ini adalah peluang untuk bukan sahaja berkongsi kisah kehidupan seharian kita sebagai pendidik, tetapi juga untuk menyerlahkan akar umbi matlamat hidup kita, baik di dalam mahupun di luar bilik darjah,” katanya. – Bernama, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen