Malaysia gesa Jepun tangani kebimbangan mengenai air terawat Fukushima


Malaysia berpuas hati dengan jaminan Jepun dan laporan IAEA mengenai kesan radiologi susulan pelepasan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 5 November, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berpuas hati dengan jaminan Jepun dan laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai kesan radiologi yang minimum terhadap kehidupan marin hasil pelepasan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi.

Bagaimanapun, beliau menekankan Jepun harus terus mempertimbangkan pandangan, cadangan dan kebimbangan yang dikemukakan oleh Malaysia dan negara serantau mengenai perkara itu kerana kesannya merentasi sempadan.

“...(kita) memberi jaminan kepada Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida kita (Malaysia) akan terus membeli produk dari Jepun,” katanya pada sidang media bersama Kishida di Putrajaya pada Ahad.

Pada 24 Ogos, dilaporkan Jepun mula melepaskan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi ke laut.

Selain itu, Anwar berkata sidang kemuncak peringatan ulang tahun ke-50 hubungan dialog Asean-Jepun akan diadakan pada pertengahan Disember di Tokyo.

Anwar juga berharap isu bilateral antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pertahanan dan keselamatan, pendidikan dan peralihan tenaga akan dibincangkan secara mendalam semasa dialog itu dan beberapa perjanjian akan dimuktamadkan.

Selepas pertemuan hari ini, Anwar mengatakan beliau gembira dengan komitmen Jepun untuk menyokong inisiatif Asean termasuk perkara lima konsensus (5PC) untuk membawa keamanan ke Myanmar.

Lawatan dua hari Kishida ke Malaysia bermula pada Sabtu signifikan kerana bersempena dengan ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun tahun ini. – Bernama, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen