SEORANG penyampai radio maut ditembak di dalam studionya di Filipina hari ini , kata polis. Insiden terbaru dalam senarai panjang wartawan yang terbunuh di negara itu.
Ketua Polis di perbandaran Calamba di wilayah Misamis Occidental, Kapten Deore Ragonio berkata mangsa, Juan Jumalon, 57, berada di stesen radio di rumahnya di pulau selatan Mindanao ketika seorang lelaki bersenjata menembaknya di kepala.
Polis dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek masuk ke studio dengan berpura-pura ingin membuat pengumuman di radio.
Suspek kemudiannya melarikan diri dan Jumalon disahkan meninggal dunia di hospital.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan berkata, Jumalon adalah wartawan keempat yang terbunuh sejak Presiden Ferdinand Marcos memegang jawatan pada Jun 2022.
Negara kepulauan adalah salah satu tempat paling berbahaya di dunia untuk wartawan, dan pembunuh mereka sering tidak dihukum.
Penyampai radio di luar ibu negara sering menjadi sasaran.
Ketua Pasukan Petugas Presiden mengenai Keselamatan Media mengecam “serangan terkutuk” itu dan menggesa pembentukan pasukan petugas khas bagi menyiasat pembunuhan tersebut.
“Walaupun motifnya masih belum ditentukan, kami menganggap insiden ini sebagai ‘berkaitan kerja’ buat masa ini,” kata Timbalan Setiausaha Paul Gutierrez dalam satu kenyataan.
Gutierrez berkata, serangan itu dirakam, yang menunjukkan suspek menembak penyampai radio berkenaan dua kali dan sempat meragut rantai emasnya sebelum beredar.
Jumalon menggunakan nama “DJ Johnny Walker” di stesen 94.7 Gold FM Calamba yang menggunakan bahasa Cebuano.
Ragonio berkata polis sedang menyiasat motif pembunuhan itu.
Buat masa ini, polis tidak mengetahui sebarang ancaman nyawa terhadap Jumalon.
“Beliau menyentuh banyak peristiwa semasa dan tidak diketahui sama ada pernah mengkritik sesiapa dalam siarannya,” kata Ragonio kepada AFP.
Siaran itu juga disiarkan di laman Facebook stesen itu, yang mempunyai 2,400 pengikut. – AFP, 5 November, 2023.
Komen