Nilai eksport kayu Januari-Ogos turun 19.1%


Nilai eksport kayu dan produk kayu negara menurun 19.1% kepada RM14 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2023.

NILAI eksport kayu dan produk kayu negara mencatat penurunan sebanyak 19.1% kepada RM14 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding RM17.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, kata Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Larry Sng.

Bagaimanapun katanya, kemerosotan nilai eksport itu bukan hanya berlaku dalam industri perkayuan negara sahaja tetapi sebaliknya merupakan masalah global.

“Ini impak global, bukan di Malaysia sahaja. Ketika Covid-19, jualan perabot meningkat walaupun orang ramai tidak boleh keluar bebas tetapi masa itu lebih ramai yang membeli perabot kayu dari seluruh dunia.

“Selepas sempadan dibuka, mungkin minat orang ramai beralih kepada pelancongan atau produk lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup pameran Wood and Lifestyle Fair (WLF) Wilayah Selatan 2023 di Angsana, Johor Bahru Mall, Johor Bahru hari ini.

Sng berkata walaupun berdepan pasaran jualan perlahan tahun ini MTIB yakin industri perkayuan dapat mencapai sasaran eksport sebanyak RM28 bilion dan nilai pasaran domestik RM20 bilion menjelang 2025.

Menurutnya, sasaran itu selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 yang dilancarkan Kementerian Perladangan dan Komoditi dan disokong dengan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara 2021-2025.

“Kita percaya jualan tahun depan akan kembali meningkat, trend peningkatan itu sudah kelihatan dan jika orang tempatan memberikan sokongan kepada industri ini, saya percaya kita boleh capai sasaran jualan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 60% daripada jualan sektor perkayuan negara disumbang pasaran domestik, manakala 40% membabitkan eksport.

“Tahun ini Malaysia berada pada kedudukan ke-14 dunia bagi negara pengeluar kayu perabot, jadi kita merupakan antara pemain utama dalam industri ini di peringkat global.

“Bagi memastikan kita dapat capai sasaran ditetapkan menjelang 2025, MTIB giat mempromosikan penggunaan kayu melalui pelbagai kempen termasuk di media massa dan media sosial serta pembabitan dalam pameran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sng berkata penganjuran WLF yang diadakan selama empat hari bermula Khamis juga merupakan antara inisiatif yang dilaksana bagi mempromosikan penggunaan perabot kayu kepada pasaran domestik.

“Tahun ini, kita adakan pameran WLF di Putrajaya dan Pahang, kini di Johor Bahru. Penganjuran pertama WLF adalah pada 2016 dan hingga kini ia memasuki edisi ke-37. Sejak itu, WLF menjana jualan bernilai RM53.5 juta setakat Mac lalu,” katanya. – Bernama, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen