Jepun, Malaysia pertingkat hubungan keselamatan


Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengadakan rundingan dua hala dengan Malaysia diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Ahad. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 5 November, 2023.

DALAM usaha untuk memperkuat kerjasama keselamatan dan pertahanan, Jepun dan Malaysia mengesahkan komitmen untuk mempercepat pelaksanaan bantuan rasmi keselamatan (OSA) dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkuat komunikasi strategik.

Dalam perkembangan diplomatik yang signifikan, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata langkah mempercepatkan koordinasi OSA menunjukkan komitmen bersama yang merupakan titik rujukan penting dalam perkongsian antara kedua-dua negara.

“Kerjasama keselamatan dan pertahanan akan diperkukuhkan dengan Perdana Menteri Malaysia (Anwar Ibrahim) meningkatkan komunikasi strategik kita dan mempercepatkan koordinasi untuk pelaksanaan OSA.

“Selain itu, konsensus bersama dicapai untuk meningkatkan kerjasama dalam domain maritim, dengan rancangan latihan bersama membabitkan agensi pengawal pantai.”

Kishida berkata demikian semasa sidang media bersama Anwar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Ahad. Kishida berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Dilancarkan pada bulan April tahun ini, rangka kerja OSA Jepun bertujuan untuk meningkatkan kapasiti keselamatan pasukan tentera negara membangun.

Rangka kerja OSA baharu itu, yang pertama kali diumumkan dalam strategi keselamatan kebangsaan yang dikemaskini pada bulan Disember tahun lalu, pada awalnya bertujuan untuk menyediakan bantuan peralatan, bekalan dan pembangunan infrastruktur kepada negara rakan, terutamanya di Asia-Pasifik.

Dalam situasi serantau dan global semasa, Kishida menekankan kepentingan mempertahankan orde antarabangsa yang bebas dan terbuka berdasarkan undang-undang.

“Mengenai isu Laut China Timur dan Laut China Selatan, sebarang percubaan untuk mengubah status quo secara sepihak dengan kekerasan tidak akan diterima.

“Sebagai respons kepada Korea Utara termasuk isu nuklear, peluru berpandu dan pencerobohan serta situasi Myanmar, kerjasama rapat kita dengan Malaysia akan diteruskan,” kata Kishida.

Lawatan dua hari pertama Kishida ke Malaysia mulai Sabtu signifikan kerana bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun tahun ini.

Malaysia dan Jepun meningkatkan hubungan mereka daripada perkongsian yang diperkukuhkan kepada perkongsian strategik pada tahun 2015, ketika Kishida melawat Malaysia sebagai Menteri Luar.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015, Jepun menjadi rakan dagangan Malaysia keempat terbesar.

Pada 2022, perdagangan dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (AS$4.21 bilion), menyumbang 6.4% daripada perdagangan Malaysia keseluruhan.

Sehingga Jun 2023, sejumlah 2,778 projek oleh syarikat Jepun dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion). – Bernama, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen