PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan Malaysia atas komitmen Jepun dalam menangani isu penempatan Israel di Palestin dan penyediaan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang dilanda peperangan.
Beliau juga memuji sokongan Jepun terhadap keamanan dan ketenteraman di rantau itu yang menyaksikan konflik berulang kali antara Palestin dan Israel, termasuk kemusnahan yang disaksikan daripada pengeboman baru-baru ini di Gaza.
“Melihatkan pengeboman itu, kerosakan di Gaza dilihat melampaui kemusnahan yang disaksikan di Hiroshima semasa Perang Dunia II,” kata Anwar semasa sidang media bersama dengan rakan sejawat Jepunnya, Fumio Kishida di Putrajaya pada Ahad.
Malaysia dengan penuh harapan mahu bekerjasama dengan Jepun, yang kini merupakan anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
Mengenai hal ehwal serantau, Anwar menekankan komitmen bersama Malaysia dan Jepun dalam memperkuat dan memelihara keamanan dan keselamatan serantau.
Komitmen itu membabitkan penerokaan peluang baharu bagi kerjasama dalam industri pertahanan dan sektor maritim.
Selain itu, kedua-dua negara mencapai perjanjian mengenai penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia dengan rancangan untuk mempercepatkan proses itu.
Anwar menyatakan langkah itu akan memberikan pelajar Malaysia akses kepada sistem pendidikan Jepun yang berkualiti tinggi.
Anwar juga meminta Kishida untuk mengadakan kerjasama khusus antara Malaysia dan Universiti Waseda di Jepun, sebuah lagi institusi pendidikan tersohor yang menghasilkan cendekiawan seperti almarhum Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.
Kishida berada dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bermula Sabtu. – Bernama, 5 November, 2023.
Komen