PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini berkata beliau akan menyerahkan pentadbiran kepada Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum pilihan raya umum akan datang, lapor portal Malay Mail.
Jelasnya, jika semuanya berjalan lancar, beliau akan berbuat demikian menjelang sambutan ulang tahun Parti Tindakan Rakyat (PAP) ke-70 pada 21 November, tahun depan. Bagaimanapun tiada tempoh masa tepat diberikan beliau.
Berucap kepada lebih 1,000 ahli parti, Lee berkata “kepimpinan berkualiti tinggi” adalah kunci utama kerajaan PAP untuk mencapai tiga keutamaan ditetapkan iaitu mentadbir dengan cekap, bersih dan menang pilihan raya.
“Singapura hari ini tidak boleh dibina oleh kerajaan lemah yang hanya bergantung kepada kuasa dengan majoriti tipis, atau dengan parti mentadbir dan dasar berubah setiap kali pilihan raya berlaku,” katanya dipetik berkata.
Tambahnya lagi, kemungkinan yang PAP dicabar atau tidak menjadi kerajaan sentiasa wujud kerana itu adalah asas demokrasi.
Disebabkan itu, sekiranya sebahagian besar rakyat Singapura mahukan PAP disemak imbang dengan lebih baik dan lebih ramai wakil pembangkang memasuki Parlimen, dinamik politik negara itu akan berubah, jelasnya. – 5 November, 2023.
Komen