PM Australia ikrar ‘kerjasama membina’ dengan China


PERDANA Menteri Australia Anthony Albanese pada Ahad berikrar untuk melakukan “kerjasama membina” dengan China ketika kedua-dua negara berusaha meredakan ketegangan hubungan.

Albanese berkata demikian ketika majlis perasmian Ekspo Import Antarabangsa China di Shanghai pada hari pertama lawatan kerjanya ke rakan dagang terbesar Australia itu.

“Hubungan ekonomi yang membina antara negara membantu membina hubungan, kerana itulah kerajaan dipimpin saya akan terus melakukan kerjasama membina dengan China,” kata Albanese dalam ucapannya.

Perdana menteri itu menghabiskan empat hari di China, meluangkan masa antara Shanghai dan Beijing.

Ia adalah lawatan pertama dibuat ketua pemimpin Australia dalam tempoh tujuh tahun, dengan kedua-dua negara berusaha memulihkan hubungan yang terjejas sehingga memberi kesan kepada perdagangan bernilai berbilion dolar.

Pentadbiran Albanese dalam usaha menjalinkan hubungan lebih baik dengan China, walaupun pada masa sama berusaha menafikan pengaruh Beijing yang makin luas di rantau Pasifik.

Kementerian Luar China berkata Albanese akan bertemu dengan pemimpin China dan “mengadakan pertukaran pandangan mendalam tentang isu hubungan dua hala serta isu antarabangsa dan rantau serta kebimbangan bersama”.

“Hubungan sihat dan stabil antara China dan Australia selaras dengan kepentingan asas kedua-dua negara dan rakyat,” kata jurucakap Wang Wenbin. – AFP, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen