Operasi lapangan terbang Hamburg tergendala kerana ‘situasi tebusan’


Trafik di lapangan terbang Hamburg tergendala dan terminal dikosongkan pada malam Sabtu kerana “situasi tebusan” dipercayai berpunca daripada pertikaian hak penjagaan anak. – Gambar AFP, 5 November, 2023.

TRAFIK di lapangan terbang Hamburg tergendala dan terminal dikosongkan pada malam Sabtu kerana “situasi tebusan” dipercayai berpunca daripada pertikaian hak penjagaan anak, kata polis.

Sekitar jam 8 malam waktu tempatan, seorang lelaki bersenjata menaiki kereta merempuh masuk kawasan sekuriti dan menembak dua das tembakan ke udara dan mencampakkan dua botol berapi dari kereta itu, kata jurucakap polis.

Sekurang-kurangnya dua individu- termasuk seorang kanak-kanak- berada di dalam kereta tersebut.

Isteri pemandu tersebut membuat panggilan kecemasan memaklumkan polis yang anaknya diculik, tambah jurucakap lagi.

“Kami berada di lokasi dengan kehadiran ramai pasukan perkhidmatan kecemasan. Kami sedang menilai situasi tebusan,” kata polis Hamburg di X.

Kereta itu masih diparkir di kawasan dikepung di lapangan terbang.

Jelas polis lagi yang mereka percaya “pertikaian hak penjagaan anak adalah latar belakang situasi ini”.

Ahli psikologi serta pegawai polis yang pakar dalam rundingan tebusan turut berada di lokasi, kata polis, menambah yang mereka sudah berhubung dengan individu dalam kenderaan itu. – AFP, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen