Berlin solidariti dengan Palestin, ribuan tunjuk perasaan


Bendera Palestin berkibar dalam lautan orang ramai yang berarak mendesak gencatan senjata di Gaza dan gesaan membebaskan negara itu daripada Israel. – Gambar AFP, 5 November, 2023.

RIBUAN orang awam turun ke jalanan di Berlin sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin di Gaza, ketika Israel terus mengebom bandar itu selepas serangan Hamas di wilayahnya pada 7 Oktober lalu.

“Kami menganggarkan jumlah penunjuk perasaan kira-kira 3,500 tetapi lebih ramai yang datang selepas itu,” kata polis.

Suasana perhimpunan tenang pada permulaannya dan ramai penunjuk perasaan datang bersama keluarga serta anak mereka.

“Selamatkan Gaza”, “Hentikan pembunuhan beramai-ramai” dan “Gencatan Senjata” terpampang pada plakad perarakan itu.

Peserta demosntrasi, kebanyakannya memakai keffiyeh, selendang yang dipakai aktivis Palestin, berkumpul di Alexanderplatz di tengah Berlin, sambil melaungkan “Bebaskan Palestin”.

Ramai yang mengibarkan bendera Palestin. Demonstrasi itu dianjurkan beberapa persatuan yang menyokong Palestin.

Penganjur berkata mereka menjangkakan kehadiran kira-kira 2,000 peserta namun polis menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 10,000 orang dan mengerahkan kira-kira 1,400 pegawai mengawasi perarakan itu, yang dijangka berakhir sekitar 7 malam.

Tentera Israel mengepung bandar terbesar Gaza, cuba untuk menghancurkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serbuan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, yang menurut pihak berkuasa membunuh kira-kira 1,400, kebanyakannya orang awam, dengan kira-kira 240 lagi ditawan.

Kementerian kesihatan di Gaza, yang dikendalikan Hamas berkata lebih 9,200 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Israel dan kempen darat yang semakin sengit.

Polis Berlin menyuarakan kebimbangan akan berlaku ketegangan pada demonstrasi itu berikutan pengharaman aktiviti di Jerman yang dikaitkan dengan Hamas dan persatuan Samidoun, di mana anggotanya dituduh meraikan serangan ke atas Israel. – AFP, 5 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen