RIBUAN penunjuk perasaan di ibu kota Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa gencatan senjata di Gaza di mana Israel mengebom wilayah Palestin itu tanpa henti.
Penunjuk perasaan mengecam sokongan Presiden Joe Biden terhadap Israel dan menyelar Washington kerana menjadi sekutu utama di Timur Tengah.
Himpunan yang menyaksikan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan memakai keffiyeh hitam putih Palestin itu adalah protes terbesar di Washington sejak permulaan kebangkitan Hamas pada 7 Oktober.
“Free, free Palestine” dan berhenti kepung Gaza antara desakan yang dilaungkan penunjuk perasaan.
Satu lagi slogan yang dilaungkan, ditujukan kepada presiden AS adalah: “Biden, Biden you can’t hide, you signed off on genocide” (Biden, anda tidak boleh sembunyi, anda turut serta lakukan genosid).
“Perbuatan ini tidak boleh diterima, terlalu banyak nyawa insan tidak bersalah terkorban,” kata Amanda Eisenhour dari Virginia.
“Ini adalah pembunuhan beramai-ramai, ia kesan kotor dalam sejarah kita, saya sebagai rakyat tidak mahu terima cukai yang saya bayar digunakan untuk membiayai kejahatan ini.”
Jasmine Iman, 25, dari New York turut serta dalam demonstrasi itu dan berkata beliau tidak akan undi Biden lagi pada pilihan raya presiden akan datang.
“Kami tidak akan undi Demokratik. Kami akan pastikan semua orang tahu supaya tidak undi Demokratik, semuanya kerana Gaza,” katanya.
Perang di Gaza masuk hari ke-29 semalam sejak pejuang Hamas dengan berani merempuh masuk ke sempadan Israel, dan melakukan serangan balas.
Israel mendakwa, 1,400 maut dalam serangan itu, kebanyakannya orang awam dengan lebih 240 ditahan untuk dijadikan tebusan.
Sejak itu, Israel bertubi-tubi mengebom semenanjung Gaza dan mengerah tentera melakukan serangan darat.
Setakat ini, 9,488 rakyat Palestin di Gaza terkorban, dengan dua pertiga daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak. – AFP, 5 November, 2023.
Komen