Polis tahan jurulatih seni mempertahankan diri disyaki cabul 4 kanak-kanak


SEORANG jurulatih di sebuah pusat seni mempertahankan diri ditahan polis kerana dipercayai mencabul empat kanak-kanak perempuan berusia tujuh hingga sembilan tahun dalam beberapa kejadian berasingan antara Oktober dan September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan sekitar jam 4 petang di sebuah pusat membeli belah di Shah Alam, Khamis lalu selepas menerima laporan pertama daripada salah seorang ibu mangsa pada jam 1.53 tengah hari pada hari berkenaan.

“Mangsa pertama merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, dipercayai dicabul oleh suspek semasa berada dalam tandas pusat mempertahankan diri tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu pihaknya setakat ini telah menerima empat laporan polis (termasuk mangsa pertama) berkaitan kejadian yang sama melibatkan mangsa yang berbeza. 

Mohd Iqbal berkata suspek yang merupakan seorang penuntut kolej swasta di Lembah Klang dan telah menjadi tenaga pengajar seni mempertahankan diri selama setahun.

Katanya, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Justeru, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut agar menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103. – Bernama, 4 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen