BERSATU menggantung keahlian Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid daripada parti itu selama empat tahun, selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu mengumumkan sokongannya terhadap kerajaan Anwar Ibrahim, kata Hamzah Zainuddin.
Setiausaha Agung Bersatu itu berkata lembaga disiplin parti membuat keputusan itu pada Jumaat berikutan laporan terhadap pengerusi bahagian Bersatu Kuala Kangsar.
“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasannya, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.
“Sehubungan dengan itu, Iskandar digantung keahliannya berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa 3 November,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan itu dibuat berikutan Iskandar mengisytiharkan beliau menyokong Anwar sebagai perdana menteri pada 12 Oktober, sambil mendakwa kekal setia kepada Bersatu.
Iskandar dilaporkan berkata beliau membuat keputusan itu selepas meneliti aduan pengundi, dan menekankan keperluan mendesak untuk menangani krisis kenaikan kos sara hidup.
Hamzah sebelum ini mendakwa Iskandar dipaksa berbuat demikian oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bertemunya di sebuah hotel pada 1 Oktober. – 4 November, 2023.
Komen