Konflik Palestin-Israel tidak ancam keselamatan negara, kata menteri


Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia bercadang untuk mewujudkan entiti keselamatan siber baharu yang akan diletak di bawah pejabat perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

TIADA sebarang tanda wujud unsur ancaman terhadap keselamatan negara ketika ini susulan konflik Palestin-Israel, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata bagaimanapun, pihak berkuasa mengambil langkah untuk meningkatkan tahap siap siaga di kawasan sempadan dan pada masa sama, Polis Diraja Malaysia menjalin kerjasama rapat dengan negara jiran.

“Saya diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara susulan pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan tiga perkara yang dilakukan oleh pasukan polis iaitu yang pertama, meningkatkan tahap siap siaga di kawalan sempadan negara.

“Kedua, kita bekerjasama rapat dengan semua negara jiran dari segi perkongsian risikan dan ketiga sepanjang konflik berlaku serta sepanjang kita menguatkuasakan kawalan sempadan, laporan awal yang kita peroleh keadaan adalah terkawal.

“Tiada sebarang tanda yang boleh dibuat kesimpulan wujudnya unsur ancaman terhadap keselamatan, itu penting untuk kita maklumkan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Kebun Bunga, Lee Bong Heng di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

Saifuddin juga berkata, Malaysia merancang untuk mewujudkan entiti keselamatan siber baharu yang akan diletak di bawah pejabat perdana menteri dan langkah itu diambil sebagai maklum balas kerajaan terhadap potensi ancaman jenayah siber yang semakin meningkat.

“Itu adalah perkembangan yang kita bincang di peringkat Jemaah Menteri dan sekarang rang undang-undang itu dalam pembikinan… saya tak fikir ia dapat masuk dalam jadual terdekat (persidangan Dewan Rakyat), mungkin tahun depan,” katanya. – Bernama, 4 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen