POLIS mengesahkan berlakunya kes buli membabitkan pelajar sekolah menengah di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar, seperti tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan pada 24 September lalu membabitkan seorang pelajar Tingkatan 4 yang dikatakan dipukul oleh pelajar Tingkatan 5.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan lanjut. Doktor yang merawat mangsa mengesahkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Omar Bakhtiar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan serta spekulasi yang tidak berasas berkaitan kes yang ditularkan.
Sejak semalam, tular menerusi media sosial berhubung seorang pelajar dibawa oleh warden asrama sebuah sekolah pada 23 September lalu ke Hospital Kuala Kangsar selepas dipukul pelajar senior selain cedera di bahagian anggota sulit. – Bernama, 4 November, 2023.
Komen