Umno tak perlu pujuk ahli Parlimen pembangkang sokong PM, kata Ahmad Maslan


Ahmad Maslan berkata, Anwar Ibrahim tidak pernah menyuruh beliau memujuk ahli Parlimen pembangkang menyokong perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

UMNO tidak perlu memujuk mana-mana ahli Parlimen pembangkang untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Ahmad Maslan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, ini kerana sokongan yang dimiliki oleh kerajaan perpaduan sangat kukuh dan stabil.

“Saya ingin menyatakan mana-mana pimpinan Umno tidak melakukan pujukan kepada sesiapa pun. Kalau mereka (ahli Parlimen pembangkang) ingin menyokong, mereka sokonglah.

“Perdana menteri tidak pernah menyuruh saya untuk melakukan perkara seumpama itu kerana kita adalah kerajaan yang cukup stabil serta cukup kuat dan tiada keperluan bagi pihak kerajaan untuk memancing sesiapa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Takaful Masuk Kampung di Pontian, Johor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hamzah Zainudin semalam gabungan politik itu sedang mengumpul bukti berhubung dakwaan ugutan yang diterima oleh ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong kerajaan perpaduan. – Bernama, 4 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen