Perdana Menteri Jepun lawat Malaysia


Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengadakan lawatan kerja ke Malaysia bermula hari ini hingga esok. – Gambar fail EPA, 4 November, 2023.

PERDANA Menteri Jepun, Fumio Kishida mengadakan lawatan kerja ke Malaysia bermula hari ini hingga esok, lawatan pertamanya ke negara ini sejak dilantik sebagai perdana menteri pada Oktober 2021.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Kishida dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka dijangka meneliti kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, alam sekitar dan keselamatan tenaga serta informasi dan komunikasi selain bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk konflik Palestin-Israel.

“Lawatan kerja ini akan memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara. Memandangkan Jepun sentiasa memainkan peranan pentingnya sebagai rakan dialog Asean, lawatan ini mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan itu akan disusuli dengan satu jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar bagi meraikan Kishida.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama dalam bidang informasi dan komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

Pada 2022, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM181.51 bilion (AS$41.21 bilion) yang merangkumi 6.4% daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion). – Bernama, 4 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen