LANGKAH kerajaan negeri Kelantan melaksanakan cadangan perubahan kepada pelan pembangunan berkaitan pengubahsuaian kawasan sensitif alam sekitar dijangka terus menghimpit dan menyisihkan hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Brooke, Murad Mat, 44, berkata rancangan itu semestinya akan menyaksikan pembukaan kawasan yang lebih luas, sekali gus memburukkan lagi konflik yang dialami mereka ketika ini.
Beliau berkata, dalam jangka masa panjang, langkah pengubahsuaian kawasan sensitif alam sekitar dikhuatiri akan menjejaskan kehidupan generasi baharu Orang Asli sama ada dari segi penempatan mahupun pembangunan sosial mereka.
“Kami bukan menolak pembangunan yang dirancang tetapi buat masa sekarang kami tidak bersetuju kerana generasi Orang Asli akan terkesan.
“Tiada lagi kawasan serta tempat tinggal yang sempurna untuk menjalankan cara hidup kami dengan mencari hasil hutan dan berkebun, malah sumber air di kebanyakan kawasan di Tanah Rata Lojing juga semakin tercemar, selain risiko tanah runtuh di sekitar dan laluan ke penempatan kami,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Murad juga melahirkan rasa khuatir pengubahsuaian kawasan sensitif alam sekitar akan turut mengubah budaya setempat masyarakat Orang Asli di Gua Musang.
“Kami juga bimbang perubahan budaya akan berlaku dan pupus dengan kehadiran ramai warga asing yang bekerja di sini seperti yang sedang berlaku ketika ini apabila ramai anak gadis Orang Asli berpindah dan tinggal bersama warga asing di sini,” katanya.
Turut senada, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng yang membantah sekeras-kerasnya sekiranya pembersihan hutan membabitkan penempatan, kebun, kawasan kubur serta kawasan tadahan air.
“Langkah kerajaan ini akan menyebabkan penempatan Orang Asli di daerah ini semakin mengecil, bahkan proses pewartaan kawasan masyarakat itu juga belum diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata tiada kompromi dalam kawasan sensitif alam sekitar terutama berkaitan alam sekitar, konflik hidupan liar, tanah rizab taman negara dan kawasan tadahan air.
Beliau berkata tindakan pengubahsuaian itu bukan hanya memberi kesan kepada penduduk, malah turut menyebabkan kekeruhan air sungai, kejadian kepala air dan bencana banjir.
“Saya senada dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam hal ini kerana kita menghadapi sendiri kejadian akibat daripada pembukaan kawasan baharu yang mengganggu ekologi dan keseimbangan ekosistem hutan, antara punca konflik hidupan liar seperti harimau, gajah dan beruang dengan manusia adalah kerana kawasan mereka diganggu-gugat.
“Justeru, saya juga membantah dan memohon kerajaan negeri untuk menimbang balik cadangan berkenaan,” katanya.
Kerajaan negeri Kelantan pada 21 Oktober 2020 memutuskan supaya kawasan Hutan Simpanan Kekal, kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar.
Pelaksanaan keputusan itu masih dalam peringkat draf pengubahan rancangan pemajuan di Kelantan iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan program publisiti dan penyertaan awam mulai 11 Oktober lalu hingga 11 November ini. – Bernama, 4 November, 2023.
Komen