37% sudah mengundi di Jepak setakat 1 tengah hari, kata SPR


Mereka adalah 37% daripada 22,731 orang yang layak mengundi pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini di 14 pusat mengundi, kata SPR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

LEBIH 8,000 pengundi di Jepak setakat 1 tengah hari tadi sudah mengundi memilih wakil rakyat baharu yang akan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mereka adalah 37% daripada 22,731 orang yang layak mengundi pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini di 14 pusat mengundi yang dibuka sejak 7.30 pagi tadi, kata SPR.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi mencapai 65 peratus.

Beliau juga berkata proses pengundi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan setakat tengah hari.

“Semua pengundi juga telah menjalankan proses pengundian dengan baik dan tiada gangguan oleh mana-mana pihak, keadaan tenang dan aman,” katanya, seperti dipetik Bernama, selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu.

Daripada 14 pusat mengundi itu, 11 akan ditutup pada 5.30 petang sementara tiga dijadual ditutup pada 4 petang.

Pengundian hari ini dijalankan selepas tempoh kempen dua minggu sejak 21 Oktober berakhir tengah malam tadi.

Tiga calon bertanding hari ini iaitu Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Stevenson Joseph Sumbang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK), dan Chieng Lea Phing calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Menurut Bernama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah pada sebelah pagi dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan pada sebelah petang.

SPR menjangkakan keputusan dapat diumum sebelum 9 malam.

Pilihan Raya Kecil DUN Jepak diadakan selepas penyandangnya sejak 1996 Talib Zulpilip meninggal dunia pada 15 September.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada Disember 2021, Talib yang mempertahankan kerusinya dengan majoriti  4,243 undi. – 4 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen