Saya terima keputusan diganti Radzi, kata Suhaili


Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin menggantikan Suhaili Abdul Rahman sebagai ketua bahagian Bersatu Labuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

AHLI Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman menerima keputusan pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menggantikan beliau dengan naib presiden parti itu Radzi Jidin sebagai Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan dan Labuan.

Suhaili berkata beliau tetap ahli Bersatu walaupun berlaku perubahan kepimpinan dan percaya keputusan itu tidak akan memberi kesan buruk kepada bahagian berkenaan.

“Masa depan bahagian ini di luar kawalan saya namun ia adalah fakta bahawa penubuhan Bersatu Labuan adalah hasil usaha saya dan sokongan padu penyokong tempatan.

“Dan keputusan melantik pemimpin baharu bagi Wilayah Persekutuan dan Labuan merupakan hak kepimpinan parti,” katanya kepada pemberita di Labuan hari ini.

Perubahan kepimpinan itu diumumkan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin pada 2 November lepas.

Suhaili dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid kini dalam prosiding tatatertib parti selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lepas.

Suhaili turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Mohd Noor.

Bahagian Bersatu Labuan dalam kenyataan pada 1 November lepas memaklumkan sokongan terhadap keputusan Suhaili itu demi pembangunan dan kemajuan Labuan. – Bernama, 4 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen