Ribut, penuhi hasrat VIP mungkin punca nahas Batang Lupar


Desmond Davidson

Antara serpihan helikopter yang terlibat dalam nahas Batang Lupar, Sarawak. – Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat, 9 Jun, 2017.

PERUBAHAN jadual penerbangan dan keinginan juruterbang untuk memenuhi hasrat orang kenamaan sehingga terburu-buru menerbangkan pesawat dari Betong ke Kuching dalam cuaca ribut petir dan angin kencang mungkin merupakan punca terhempasnya helikopter itu di Batang Lupar pada 5 Mei tahun lepas.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan Malaysia membuat kesimpulan itu dalam laporan penuh akhir yang dikeluarkan semalam.

Mereka yang terkorban dalam nahas udara itu ialah bekas timbalan menteri kementerian pertanian dan industri asas tani Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah; ketua setiausaha kementerian Dr Sundaran Annamalai; ahli Parlimen Kuala Kangsar dan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun; dan juruterbang Rudolf Rex Ragas.

Laporan itu mengatakan yang helikopter jenis Eurocopter AS350B3e Ecureil, yang disewa syarikat Sarawak Horbill Skyways dari GCA Skyline Aviation, sebuah syarikat Filipina pada hari kejadian berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Kuching pada jam 9.30 pagi membawa enam penumpang menuju ke penempatan pendalaman di bahagian Betong yang dikenali sebagai Bungin.

Selepas menghantar penumpangnya, Ragas akan terbang ke sebuah bandar di pendalaman, Spaoh untuk mengambil tiga penumpang dan membawa mereka kembali ke Kuching.

Bagaimanapun terdapat perubahan jadual penerbangan apabila dia diminta terbang ke Betong pula.

Betong ialah kawasan bekas ketua Noriah di kementerian, Douglas Uggah yang pada hari kejadian mengadakan satu acara awam di sana.

Ragas tidak berlepas dari Spaoh ke Betong sehinggalah jam 4 petang, dan kerana dia tidak begitu mengenali kawasan pendaratan di Betong, seorang pegawai kerajaan negeri menemaninya bagi membantu mengenal pasti kawasan pendaratan di rumah rehat Betong.

Sebaik sahaja mendarat di Betong, dengan enjin masih hidup dan bilah masih berpusing, Noriah dan kumpulannya menaiki pesawat itu untuk ke Kuching.

Ia berlepas pada jam 4.12 petang.

Laporan itu menyebut mereka percaya Ragas “dalam keadaan tertekan sebelum kemalangan”- antara lainnya- untuk membawa penumpang VIP kembali ke Kuching bagi menaiki penerbangan seterusnya ke Kuala Lumpur.

Laporan itu menyebut yang “semua penumpang dalam pesawat…mempunyai tiket kembali ke Kuala Lumpur pada 6 Mei.

“Bagaimanapun, salah seorang penumpang mengesahkan tiket MH2529 pada jam 9.35 malam hari yang sama.”

Laporan itu menyebut memandangkan Ragas “tidak biasa dengan bentuk muka bumi dan keadaan buruk cuaca sewaktu penerbangan”, dia tidak dapat membuat keputusan untuk menggunakan laluan lain seperti mana lima lagi juruterbang Hornbill Skyways yang terbang di kawasan sama lakukan.

Ragas juga “mungkin mengemudi menggunakan maklumat GPS (sistem kedudukan sejagat) bagi menentukan laluan terus ke Simunjan yang merupakan titik permulaan untuk VFR (“visual flight rated”) untuk memasuki Kuching melalui VFR Laluan 4”.

“Bagaimanapun sebelum dia sampai ke Simunjan pada 4.20 petang, cuaca di sekitar Lingga, berdasarkan gambar satelit dipenuhi dengan angin kencang dan ribut petir.  

“Dia mungkin terbang melalui hujan (untuk) terus ke Simunjan,” kata laporan itu.

Panggilan radio terakhir dilakukan Ragas ke Pusat Kawalan Kuching adalah sebaik sahaja bertolak pada jam 4.15 petang.

Memandangkan helikopter itu tidak dilengkapi dengan perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit bagi membantu siasatan, penyiasat membuat kesimpulan yang helikopter itu terbang terlalu pantas, dalam “situasi cuaca yang buruk dengan jarak penglihatan yang rendah, kekurangan pandangan horizon sebagai rujukan, terbang rendah dan pantas melalui kawasan air terbentang luas yang kekurangan kriteria yang boleh memberikan petunjuk visual” dan terhempas ke dalam sungai.

Laporan itu turut menyatakan bedah siasat mayat mangsa menunjukkan “semua kecederaan badan adalah kerana hentakan teruk” dan kecederaan tulang “konsisten dengan kesan halaju tinggi”.

Tindakan menerbangkan pesawat dalam ribut itu menyebabkan penyiasat percaya juruterbang berusia 58 tahun itu juga mungkin mengalami “disorientasi spatial” (SD)- terma yang digunakan untuk merujuk kepada ketidakmampuan juruterbang untuk menafsir atitude, altitude atau kelajuan udara kapal terbang dan hubungannya dengan bumi atau mana-mana titik rujukan lain dengan tepat.

Penyiasat mengatakan persekitaran ketika itu memungkinkan disorientasi spatial antara punca kemalangan.

“Disorientasi spatial ialah masalah yang biasa wujud dan dijangkakan peluang untuk seorang juruterbang mengalami SD sepanjang kerjaya mereka ialah antara 90 hingga 100 peratus.

“Statistik menunjukkan antara 5% hingga 10% kemalangan udara yang biasa berlaku disebabkan SD- 90% adalah kemalangan maut,” kata laporan itu lagi.

Pasukan penyiasat enam orang itu diketuai Kapten Yahya Abdul Rahman yang dibantu BEA, Perancis dan Lembaga Siasatan Kemalangan Udara Filipina (AAIIB).

Laporan itu menyimpulkan punca kemalangan yang paling mungkin adalah “ketidakmampuan juruterbang untuk menggunakan semua maklumat tersedia bagi membuat keputusan yang tepat, sehingga tidak menyebabkan pesawat tidak disorientasi ketika terbang di atas air pada altitude rendah dalam cuara buruk dengan jarak penglihatan yang terbatas”.  – 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen