SATU daripada setiap lima pengundi di Jepak, setakat 10 pagi tadi, sudah melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi memilih wakil rakyat baharu yang akan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sejak pusat mengundi dibuka pukul 7.30 pagi, 22% daripada 22,731 pengundi sudah mengundi di semua 14 pusat mengundi, kata SPR.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi mencapai 65 peratus.
Daripada 14 pusat mengundi itu, 11 akan ditutup pada 5.30 petang sementara tiga dijadual ditutup pada 4 petang.
Pengundian hari ini dijalankan selepas tempoh kempen dua minggu sejak 21 Oktober berakhir tengah malam tadi.
Tiga calon bertanding hari ini iaitu Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Stevenson Joseph Sumbang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK), dan Chieng Lea Phing calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).
Menurut Bernama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah pada sebelah pagi dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan pada sebelah petang.
SPR menjangkakan keputusan dapat diumum sebelum 9 malam.
Pilihan Raya Kecil DUN Jepak diadakan selepas penyandangnya sejak 1996, Talib Zulpilip, meninggal dunia pada 15 September.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada Disember 2021, Talib yang mempertahankan kerusinya dengan majoriti 4,243 undi. – 4 November, 2023.
Komen