PENTADBIRAN Joe Biden sedang mengadakan perbincangan tertutup mengenai kemungkinan menarik balik sekatan ke atas Cuba, kata Presiden Chile Gabriel Boric kepada pemberita.
“Memandangkan situasi sukar yang dialami rakyat Cuba, adalah mustahak untuk menarik balik sekatan ke atas Cuba dan mengeluarkan negara itu daripada senarai penaja keganasan,” Boric dipetik sebagai berkata oleh unit media Rumah Putih semalam.
“Mereka (Amerika Syarikat) sedang berdebat mengenainya, dan kami faham isu ini mencetuskan reaksi yang kuat di AS. Bagaimanapun kita mesti mempertimbangkan sekatan ini tidak mensasarkan sesebuah kerajaan sahaja; tetapi memberi kesan kepada seluruh rakyat,” katanya.
Boric membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Joe Biden di Rumah Putih, lapor Sputnik.
Pemimpin itu turut berbincang dengan Biden mengenai situasi di Venezuela termasuk berkaitan menarik balik sekatan dan pelaburan sektor tenaga.
Presiden Chile itu menyampaikan hasratnya kepada Biden untuk terus bekerjasama dengan negara Amerika Latin yang lain seperti Brazil, Argentina dan Colombia bagi memastikan pilihan raya di Venezuela tahun depan “mendapat segala jaminan yang diperlukan”. – Bernama, 3 November, 2023.
Komen